
YOUTUBER VIETNAM SUMPAH TOYOTA CORONA JADI KOENIGSEGG JESKO
Koenigsegg Jesko ialah sebuah hypercar yang jarang dijumpai dalam dunia nyata, direka untuk kelajuan maksima dengan harga yang melangkau jutaan ringgit sudah pasti tidak mampu dibeli oleh kebanyakan peminat. Apatah lagi hypercar ini adalah dihasilkan dalam kuantiti yang sangat terhad
Namun ini tidak menghalang sekumpulan Youtuber Vietnam untuk mencipta replika Koenigsegg Jesko dalam ukuran dan dimensi tepat yang sangat meyakinkan dengan menggunakan komponen daripada sedan Toyota lama.
Saluran YouTube NHET TV merupakan saluran yang tidak asing lagi untuk peminat replika hyperca dan ini buknlah projek pertama mereka. Pada tahun 2022, mereka membina Bugatti Chiron, diikuti oleh La Ferrari pada tahun 2023, dan Pagani Huayra pada tahun 2024. Boleh dikatakan bahawa projek yang dihasilkan telah menguasai seni fabrikasi automotif yang sangat bagus
Projek ini dimulakan dengan kerangka tiub logam yang dibuat dengan merujuk kepada foto model Jesko. Kerangka ini kemudian diubah menjadi model tanah liat yang menjadi asas pembuatan rekaan dan diikuti dengan penghasilan panel gentian kaca bagi rekaan yang sebenar dan tepat
Panel gentian kaca ini menjadi asas kepada penghasilan panel keluli bagi menjadikan model replika ini tahan lasak. Pasukan NHET TV juga menghasilkan sistem suspensi gantungan bebas sepenuhnya dan menguji sistem gantungan berkali-kali bagi memastikan model ini tidak terherot sewaktu melalui jalan tidak rata
Langkah seterusnya ialah mencari unit trenkuasa yang dibekalkan oleh Toyota Corona generasi kesembilan (juga dikenali sebagai Carina E), dengan kos pembelian hanyalah $100 USD. Pasukan NHET TV bukan sahaja menggunakan semula enjin, tetapi juga kotak gear dan komponen mekanikal kritikal yang lain.
Enjin 1.8 liter aspirasi normal Toyota telah dipasang di kedudukan tengah (MR) pada casis replika. Walaupun enjin ini bukanlah tandingan kepada enjin asal yang menjana 1,600 hp (1,193 kW / 1,622 PS) daripada 5000cc V8 dalam Jesko sebenar, enjin Toyota adalah penyelesaian yang murah dan boleh dipercayai yang memastikan replika ini boleh dipandu
Badan replika Jesko ini dicat dengan warna merah terang disulami dengan jalur putih dan kemasan hitam. Disebabkan sukar untuk membeli lampu depan dan belakang atas faktor kos, maka pasukan ini menghasilkan lampu secara custom. Bukan itu sahaja, mereka juga turut menghasilkan GT Wing Jesko Attck secara custom
Apa yang lebih mengagumkan daripada pasukan pembina Vietnam ialah mereka berupaya menghasilkan bahagian pembukaan tersuai seperti pintu dihedral yang rumit, hud depan dan clamshell belakang. Ini adalah salah satu aspek yang paling sukar untuk membina kenderaan dari awal, terutamanya bagi mereka yang tidak berpengalaman dalam pengeluaran automotif.
Fasa terakhir melibatkan pemasangan panel dalaman, yang kekal dengan reka bentuk asal, walaupun dengan plastik dan skrin tiruan yang jelas lebih murah. Kerusi bucket menampilkan upholsteri biru muda dengan corak berbentuk berlian, manakala konsol tengah pula mempunyai dua pemegang cawan.
Menurut NHET TV, keseluruhan proses itu mengambil masa setahun, menuntut dedikasi semua ahli pasukan. Seperti replika mereka sebelum ini, model ini tidak dibina untuk kegunaan komersil dan tidak sah di jalanan kerana tiada ciri keselamatan asas. Namun, ia merupakan projek yang mengagumkan yang membantu mereka mengasah kemahiran mereka sambil menjana berjuta-juta tontonan di media sosial
Jika anda ingin tahu tentang proses penuh, NHET TV telah memuat naik video berdurasi hampir satu jam yang memperincikan proses penghasilan model Koenigsegg Jesko ini.