
LEAPMOTOR C10 TERIMA KEMAS KINI OTA BAHARU, TINGKATKAN PENGALAMAN PEMILIK DI MALAYSIA
Model SUV elektrik Leapmotor C10 yang mula memasuki pasaran tempatan sejak Oktober tahun lalu kini menerima naik taraf perisian besar-besaran melalui kemas kini Over-The-Air (OTA).
Versi terbaharu dikenali sebagai LeapOS 3.40.32, membawa pelbagai ciri tambahan yang memberi fokus kepada fungsi, keselamatan dan keselesaan pengguna.
Kemas kini ini tersedia untuk semua unit C10 keluaran 2024 dan 2025 di Malaysia, dan antara ciri baharu yang ditawarkan termasuk:
- Perakam Pemanduan
Kamera 360° terbina kini boleh digunakan untuk merakam keadaan sekeliling kenderaan, lengkap dengan pilihan rakaman berterusan atau mod kecemasan bagi tujuan keselamatan tambahan. - Navigasi Bahasa Melayu & Arahan Suara
Sistem navigasi kini menyokong Bahasa Melayu untuk paparan skrin dan siaran audio. Turut diperkenalkan fungsi arahan suara baharu “Hi Leapmotor” yang membolehkan pemandu mencari lagu atau artis tanpa perlu mengalihkan tangan dari stereng. - Kawalan ADAS Lebih Mudah
Pemandu kini boleh mengakses mod pemanduan dan sistem bantuan pemandu (ADAS) terus daripada butang stereng. Antara penambahbaikan termasuk pengesanan keletihan pemandu, kawalan jelajah adaptif (ACC) dan kawalan lorong (LCC) yang lebih stabil sehingga 160 km/j, serta peningkatan prestasi ketika melalui selekoh. - QDLink
Fungsi baharu ini membolehkan telefon pintar dicerminkan terus ke paparan infotainmen kereta, sama ada melalui sambungan tanpa wayar atau kabel data. Aplikasi popular seperti navigasi, muzik dan penstriman boleh diakses dengan lebih mudah.
Selain itu, sistem turut mempertingkatkan ciri pengesanan cerun, yang secara automatik mengaktifkan kamera hadapan ketika melalui jalan berbukit.

Bukan itu sahaja, keupayaan brek pegun juga dipertingkatkan bagi mengelakkan kereta mengundur di laluan curam.
Leapmotor C10 didatangkan dengan ruang simpanan hadapan (frunk) berkapasiti 32 liter, penutup but belakang, serta pengecasan AC lebih pantas melalui pengecas terbina 11 kW, menggantikan unit 6.6 kW sebelum ini.
Dengan sistem baharu ini, masa pengecasan 30 hingga 80 peratus dipendekkan daripada 6 jam kepada hanya 4 jam.

Turut dilengkapi ialah sistem pemantauan tekanan tayar (TPMS) masa nyata serta pam inflator tayar bermotor sebagai standard.
Dari segi dalaman, pilihan kemasan turut diperbaharui. Warna Midnight Aurora digantikan dengan upholsteri hitam bagi varian Pearly White, Canopy Grey dan Tundra Grey, manakala versi Glazed Green kini dipadankan dengan kemasan Camel Brown eksklusif.
Semua bahan tempat duduk mengekalkan tekstil silikon mesra bayi yang diperakui OEKO-Tex Standard 100®.
Dengan harga bermula sekitar RM125,000, Leapmotor C10 menawarkan pakej segmen-D pada nilai segmen-C, disokong jaminan enam tahun atau 150,000 km (bateri sehingga lapan tahun/160,000 km).