Buletin

MICHAEL OWEN JADI PELANGGAN PERTAMA LEAPMOTOR DI UK, TERIMA SUV ELEKTRIK C10

Bekas pemain bola sepak England, Michael Owen, mencipta sejarah sebagai pelanggan pertama Leapmotor di United Kingdom selepas menerima penghantaran SUV elektrik serba baharu, Leapmotor C10.

Model ini secara rasmi akan dijual di UK bermula 1 Mac dengan harga £36,500 (RM204,107), menjadikannya antara pilihan menarik dalam pasaran EV negara itu dengan gabungan teknologi canggih, tahap keselamatan terbaik dan harga yang kompetitif.

Leapmotor C10, sebuah SUV segmen D bersaiz keluarga, menawarkan keselamatan terbaik dalam kelasnya, jarak pemanduan sehingga 263km (mengikut kitaran WLTP) serta tahap keselesaan dan spesifikasi premium.

Ciri-ciri ini menjadikannya pilihan ideal buat bekas penyerang Liverpool itu, keluarganya serta gaya hidup mereka.

Owen, 45, yang kini merupakan pemilik dan penternak kuda lumba, menyatakan kegembiraannya menjadi pelanggan pertama Leapmotor di UK.

“C10 adalah kereta sempurna untuk saya serta keluarga. Ia bukan sahaja menawarkan teknologi luar biasa dan ruang dalaman luas, tetapi juga tahap keselamatan yang tinggi,” katanya.

Pengarah Urusan Leapmotor UK, Damien Dally, turut berbesar hati dengan pencapaian ini. “Michael Owen adalah antara pemain bola sepak terbaik yang pernah dilahirkan oleh negara ini, jadi ini merupakan satu permulaan hebat bagi jenama kami di UK,” katanya.

Selain C10, Leapmotor turut memperkenalkan model T03 di UK, sebuah EV segmen B yang ditawarkan pada harga kurang daripada £16,000 (RM89,764).

Kedua-dua model ini hadir hasil daripada kerjasama strategik antara Stellantis dan Leapmotor, di mana Stellantis memiliki jenama terkemuka seperti Vauxhall, Peugeot, Citroen, Jeep, Alfa Romeo dan Fiat.

Google ads
Back to top button