Motosikal

LEGEND TUTUP TIRAI KARIER MOTOGP DI VALENCIA. RAIH KEDUDUKAN KE-10

Valentino Rossi melengkapkan perlumbaan terakhir MotoGP selepas berkecimpung selama 26 tahun dalam persada sukan berprestij tersebut.

Pelumba berusia 42 tahun itu melahirkan rasa kesukaran berdepan persaraan terutama pada Mac apabila bermula musim baharu.

Juara dunia sembilan kali dalam semua kategori itu menamatkan saingan pada kedudukan ke-10 bersama jentera Yamaha.

Litar Valencia merupakan penampilan terakhir pelumba kelahiran Itali itu malah menjadi perlumbaan ke-432 sejak memulakan kariernya pada 1996.

“Saya sangat bermotivasi dan fokus seperti mahu memenangi kejuaraan dunia kerana perlumbaan terakhir cukup istimewa dan sangat penting,” kata Rossi yang melintasi garisan penamat di mana dia diraikan oleh penyokong dan barisan pelumba lain.

“Ia bukan mudah kerana terdapat banyak tekanan tetapi saya mampu menduduki kedudukan 10 terbaik, jadi saya mengakhiri karier panjang dengan muncul 10 pelumba terbaik di dunia.

“Ia amat penting kerana saya sering katakan pada perlumbaan terakhir, saya mahu menamatkan saingan di kedudukan 10 terbaik.

“Saya tak mahu menamatkan perlumbaan di kedudukan terakhir.”ujarnya.

Rossi menyaksikan nombor bertuahnya VR46 dapat dilihat di mana-mana di litar Ricardo Tormo bagi memberi penghormatan kepadanya.

“Ia minggu yang sangat istimewa,” kata Rossi yang memenangi tujuh kejuaraan dunia dalam kelas perdana (500cc dan MotoGP) selain dua kejuaraan dunia kelas 125cc dan 250cc.

“Saya tak menjangkakan perkara itu. Saya hanya sedikit bimbang mengenai perlumbaan terakhir saya.” Katanya. – HM

Google ads
Back to top button