Artikel Pilihan

APA KAITAN TAYAR MICHELIN DENGAN RESTORAN? INI PENJELASANNYA

Restoran ini diberi penarafan Michelin, ada dipaparkan dalam satu gambar artikel luar negara. Hmm apa kaitan Michelin si pembuat tayar dengan restoran? Mungkin nama sama kot, getus hati penulis apabila membaca artikel dalam bahasa Inggeris tersebut.

Namun beberapa hari lepas Tuan Hasri Hasan melalui satu hantaran di laman Facebook beliau menjawab persoalan, yang mengaitkan Michelin dengan restoran yang sangat bagus. Artikel berikut ialah hantaran asal Tuan Hasri Hasan melalui Facebook beliau

MICHELIN DAN INDUSTRI GASTRONOMI

Sebelum 1912, tayar yang dihasilkan daripada getah adalah berwarna putih. Sebab itulah maskot asal tayar Michelin ini berwarna putih. Selepas itu ada bahan kimia karbon dicampurkan dan menjadikan ia berwarna hitam. Campuran ini terpaksa dibuat kerana bahan kimia daripada karbon itu membuatkan getah pada tayar itu lebih lama dan tahan lasak.

Satu perkara yang menarik, pada awal tahun 1900an, terdapat hanya kira-kira 3000 buah kereta di Peranchis. Pengasas Michelin iaitu Édouard and André Michelin menerbitkan buku panduan permotoran untuk pemilik kereta iaitu, The Michelin Guide. Buku panduan ini adalah tentang cara penjagaan kereta dan tayar secara keseluruhan lokasi bengkel dan peta lokasi tempat-tempat menarik di Peranchis.

Foto Michelin Man yang pertama tahun 1894 (sumber Lost In History Picture)

Mulai 1926, Michelin mula melakukan penarafan yang serius terhadap restoran-restoran yang sedap pula. Kenapa restoran pula ya? Pada waktu itu terdapat banyak restoran yang bagus di seluruh Peranchis dan Michelin pula mahu menjual lebih banyak tayar.

Oleh kerana kereta masih belum banyak ketika itu dan kerera jarang dipandu, Michelin sukar menjual lebih banyak tayar baru. Apabila banyak restoran-restoran yang jauh dari bandar diberi review dan penarafan bintang, secara tidak langsung pelanggan-pelanggan akan mula memandu lebih jauh hingga ke luar bandar untuk mencari makanan-makanan yang sedap ini.

Secara automatik juga tayar-tayar kereta ini akan mengalami ‘wear and tear’ dan semakin keraplah mereka akan menukar tayar baru. Untuk mencapai hasrat ini, Michelin menggajikan beberapa orang inspektor makanan untuk pergi ke seluruh Peranchis untuk menikmati makanan di restoran-restoran tanpa pengetahuan tuan punya restoran dan memberi laporan semula kepada Michelin untuk diberi penarafan.

Sistem bintang Michelin bagi restoran yang bagus adalah daripada 1 bintang ke 3 bintang.

-1 Bintang (Une très bonne table dans sa catégorie) yang bermaksud Restoran Yang Bagus Dalam Kategorinya.

-2 Bintang (Table excellente, mérit un détour) yang bermaksud Masakan Enak, Layak Untuk Bertukar Arah Memandu Kerananya

-3 Bintang (Une des meillures tables, vaut le voyage) yang bermaksud Masakan Hebat, Berbaloi Untuk Melakukan Perjalanan Ke Sana

Sehingga hari ini Michelin masih melakukan penarafan bintang ini dan ia meliputi restoran-restoran seluruh dunia. Kini mereka ada lebih kurang 125 orang pakar makanan misteri yang akan datang merasa hidangan di restoran tanpa pengetahuan tuan punya restoran dan menulis laporan tahunan kepada Michelin.

Salah satu hidangan restoran bertaraf Michelin di New York

Sepanjang kerjaya mereka ini, mereka tidak dibenarkan mendedahkan identiti mereka di khalayak umum bagi memastikan mereka kekal neutral sepanjang masa.

Google ads
Back to top button