Motosikal

SRT SAH TAK SAMBUNG KONTRAK ROSSI MUSIM DEPAN

Petronas Yamaha Sepang Racing (SRT) mengesahkan tidak akan menyambung kontrak pelumba legenda, Valentino Rossi pada saingan Kejuaraan Motosikal Dunia (MotoGP) musim hadapan.

Pelumba berusia 42 tahun itu sebelum ini dilihat ‘main tarik tali’ mengenai percaturan kariernya pada saingan MotoGP musim depan selepas mendedahkan bakal membuat pertimbangan sejurus tempoh rehat saingan pada musim panas ini.

Prinsipal pasukan, Datuk Razlan Razali menegaskan pihaknya tidak boleh menunggu terlalu lama atau bersabar dengan keputusan Rossi kerana SRT mempunyai perancangan sekali gus pihaknya memutuskan sebulat suara untuk ‘berpisah’ dengan Rossi pada peng­hujung musim ini.

“Kami (SRT) enggan menunggu terlalu lama mengenai keputusan Rossi sama ada dia ingin meneruskan perlumbaan atau tidak pada musim depan.

“Menerusi perbincangan dengan pengurusan, kami sebulat suara bersetuju tidak ingin meneruskan kontrak bersama Rossi bagi perlumbaan 2022.

“Justeru, kami akan kembali fokus pada matlamat kami untuk mencari bakat-bakat pelumba muda terbaik bagi mengisi kekosongan tersebut nanti,” katanya.

Sehingga kini, Rossi dilihat gagal mempamerkan aksi me­yakinkan malah sekadar menduduki tangga ke-19 dalam carta kedudukan pelumba bersama pasukan SRT.

Juara dunia MotoGP sembilan kali itu kini ketinggalan 100 mata berbanding pendahulu ke­seluruhan yang juga bekas pelumba SRT, Fabio Quartararo.

Sebelum ini, Rossi dilaporkan sedang giat membina sebuah pasukan dalam kelas perdana MotoGP musim depan dan cuba ‘memikat’ pengeluar jentera dari Jepun, Yamaha untuk menyokong mereka dalam saingan tersebut. – Kosmo!

Google ads
Back to top button