Buletin

LELAKI ALAMI PATAH LEHER SELEPAS TERHANTUK DALAM VAN POLIS

Satu rakaman kamera litar tertutup (CCTV) memaparkan seorang suspek patah leher selepas kepalanya terhantuk pada dinding sebuah kenderaan polis ketika dalam perjalanan ke balai polis di Connecticut.

Lapor Daily Mail, Richard Cox, 36, ditahan 19 Jun lalu kerana memiliki senjata api haram. Ketika kejadian, Cox dibawa ke Balai Polis New Haven menerusi sebuah van tanpa mengenakan tali pinggang keselamatan.

“Apabila van polis itu menekan brek secara tiba-tiba, suspek tercampak lalu kepalanya terhantuk pada dinding sehingga dia pengsan,” jelas laporan itu.

Rakaman menunjukkan Cox terbaring di atas lantai kenderaan sambil menjerit meminta `tolong’ sehingga anggota polis terpaksa menghentikan van untuk memeriksa keadaan suspek.

“Polis mendesak suspek untuk bangun, namun Cox menyatakan dia tidak dapat bergerak. Anggota itu kemudian menghubungi ambulans dan terus memandu ke balai polis.

“Selepas tiba, beberapa anggota bertindak menyeret keluar suspek daripada van dan terus membawanya ke dalam balai tanpa menunggu pasukan perubatan,” jelas laporan itu.  

Sementara itu, peguam mewakili Cox, Ben Crump berkata, mangsa  kini sedang bertarung nyawa di Unit Rawatan Rapi (ICU) di  sebuah hospital tempatan.

Cox lumpuh dari bahagian leher hingga ke bawah badan dan terpaksa menggunakan tiub pernafasan. Kes itu masih dalam siasatan dan anggota polis yang terlibat ketika kejadian diarahkan mengambil cuti sementara menunggu laporan penyiasatan.  – Utusan Online 

Google ads
Back to top button