Buletin

AKSI LELAKI BUAT PROVOKASI KE ATAS POLIS TRAFIK DI PULAU PINANG TULAR

Sejak petang tadi, tular satu klip video yang menunjukkan seorang lelaki melakukan provokasi ke atas seorang anggota polis trafik. Berdasarkan kepada tulisan yang berada di bahagian bawah kanan video tersebut, insiden berlaku di Bayan Baru, Bayan Lepas, Pulau Pinang semalam (27 Jun 2022), jam 6.09 petang. 

Video berdurasi 2 minit 55 saat itu lengkap dengan ulasan perakam yang mendakwa lelaki berseluar pendek tidak memberi kerjasama dan mengasari pegawai polis berkenaan. Selepas menonton beberapa kali, kejadian berkemungkinan besar dicetuskan oleh tindakan lelaki itu yang merakam foto atau video pegawai itu ketika bertugas. 

“Pergi balai lah. Ini bukti. Jangan lah kacau, orang mau buat kerja,” kata polis itu sambil memegang telefon bimbit suspek dan membuat panggilan untuk mendapatkan bantuan. 

“Saya tak salah,  u bukti apa?” balas lelaki tersebut. Seperti langsung tidak menghormati anggota polis, dia dilihat terus cuba untuk merampas telefon bimbitnya. 

Walaupun diekori dan diprovokasi, pujian harus diberikan kepada pegawai berkenaan yang masih lagi tenang dan dapat mengawal keadaan.  

Satu ketika, polis itu pergi ke sebuah motosikal dan mengambil beg, sebelum cuba dirampas oleh lelaki berkenaan. Perbuatan itu membuatkan polis itu menolak dan lelaki tersebut jatuh ke tanah. 

Tidak berputus asa, lelaki itu terus membuat provokasi dan memaksa polis menyerahkan telefon bimbitnya. Rakaman itu berakhir dengan polis berkenaan menunjukkan pouch bag miliknya rosak dan mahu lelaki itu membuat laporan polis. 

Google ads
Back to top button