Buletin

BMW TAMATKAN PRODUKSI MODEL i3, LANCAR EDISI PENGAKHIRAN HOME RUN EDITION

Selepas tempoh sembilan tahun dalam fasa produksi dan 250,000 unit terjual, BMW akhirnya secara rasmi menamatkan program pemasangan hatchback berkuasa elektrik BMW i3 di kilang Leipzig, Jerman.

Bersempena dengan itu, BMW melancarkan model edisi penamat BMW i3s Home Run Edition yang akan ditawarkan sebanyak 10 unit sahaja, dan kesemua unit itu dilayangkan dengan warna Frozen Dark Gray atau Frozen Red II.

Selain itu, i3s edisi terhad itu juga turut mendapat rim bersaiz 20 inci, bumbung kaca panoramik berkuasa elektrik dengan kawalan tembusan cahaya, lampu utama adaptif, kemasan upholsteri Vernasca Dark Truffle, headliner Carum Grey, dan sistem pencahayaan ambien.

Menurut BMW, kesemua 10 pemilik terakhir i3s ini turut diberikan peluang melihat sendiri kereta tersebut dipasang di kilang BMW Plant Leipzig.

Selepas tamat produksi BMW i3, kilang tersebut akan diubahsuai untuk proses pemasangan generasi baharu MINI Countryman termasuk varian elektrik (EV).

Google ads
Back to top button