Buletin

LELAKI DITEMUI MATI DALAM MCLAREN SEWA DI KUALA LUMPUR

Seorang lelaki ditemui mati dalam sebuah kereta sports McLaren yang diparkir di hadapan sebuah pusat hiburan KTV di tepi Jalan Gelang Off Jalan Sungai Besi, Kuala Lumpur semalam.

Komander Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Kuala Lumpur, Najilan Che Pa berkata, Pusat Gerakan Operasi Kuala Lumpur menerima panggilan kecemasan pada pukul 6.03 petang dan bergegas ke lokasi kejadian.

“Setibanya di tempat kejadian didapati sebuah kereta mewah model McLaren diparkir berhadapan pusat hiburan berkenaan dan terdapat seorang lelaki dalam keadaan tidak sedarkan diri.

“Anggota bertindak membuka pintu kereta menggunakan peralatan khas dan sebaik berjaya dibuka, pasukan perubatan mengesahkan mangsa telah meninggal dunia,” ujarnya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Noor Dellhan Yahaya berkata, hasil pemeriksaan mendapati mangsa ialah lelaki tempatan berusia 28 tahun dan beralamat di Klang, Selangor. Manakala McLaren itu merupakan sebuah kereta sewa.

“Pasukan Forensik Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur telah hadir di tempat kejadian pada pukul 8.49 malam. Hasil pemeriksaan mendapati tiada sebarang kesan kecederaan ditemui pada badan mangsa dan jenazahnya telah dihantar ke Jabatan Forensik Hospital Kuala Lumpur untuk tujuan bedah siasat,” ujarnya.

Kes diklasifikasi sebagai mati mengejut (SDR). – KOSMO! ONLINE

Google ads
Back to top button