Pandu Uji

TESLA MODEL 3, TELEFON PINTAR BERGERAK

Memang tidak dapat dinafikan yang Elon Musk mempunyai visi yang jelas apabila merancang untuk menghasilkan kereta elektrik dibawah jenama Tesla. Salah satu konsep yang diilhamkan oleh Elon Musk ialah meminimakan semua sumber, komponen, kaedah pemasangan dan juga fasiliti kilang

Jadi Elon Musk mencipta mantra beliau yang terkenal iaitu “komponen yang paling bagus dalam automotif ialah apabila komponen tersebut langsung tidak diperlukan untuk membina kenderaan”. Malah dalam proses pemasangan kenderaa Elon Musk menyebut “ proses terbaik ialah apabila kita langsung tidak memerlukan proses tersebut”.

Sebagai bukti untuk merealisasikan idea ini, Tesla Model 3 adalah model pertama dalam Tesla yang tidak menggunakan rekaan jeriji bahagian atas dalam rekaannya. Idea untuk menghasilkan kereta elektrik mampu milik ini mulai timbul pada tahun 2006 lagi namun pada tahun 2016 barulah idea ini berjaya direalisasikan oleh Tesla

Model Tesla yang pertama ialah Roadster (100k USD), Model S (92k USD), Model X (82k USD) dan akhir sekali barulah Model 3 ditawarkan pada harga 35,000 USD menjadikannya sebagai model mampu milik oleh Tesla.

Dari segi saiz, Model 3 datang dengan panjang 4720mm dan lebar 1923mm. Jarak antara roda pula ditetapkan pada 2875mm menawarkan ruang kabin yang selesa untuk semua penumapng. Model yang kami uji pada kali ini merupakan model facelift uamng dihasilkan melalui kod projek Highland.

Model 3 model terbaru menampilkan rekaan lampu depan yang lebih nipis dan tajam serta rekaan keseluruhan Model 3 menjadi lebih “licin” dan sporti bagi menurunkan kadar geseran daripada 0.225 kepada 0.219 sahaja

Rekaan sebegini berjaya menurunkan penggunaan tenaga elektrik sebanyak 1kWh bagi setiap 100km perjalanan. Kalau anda namapk Model 3 ini mirip seperti rekaan Mazda, maka anda tidak salah kerana Model 3 dihasilkan oleh Franz von Holzhausen dimana beliau pernah menjadi Mazda Chief Design America dulu

Antara rekaan Franz von Holzhausen yang pernah dihasilkan termasuklah Mazda Kabura dan Mazda Furai. Dari segi rekaan platform, Model 3 masih menggunakan platform 400 volt dengan 2 motor elektrik bagi pacuan semua roda, dan menggunakan bateri Nickel Manganese Cobalt 75kWh dengan jarak perjalanan sejauh 629km

Model facelift ini menawarkan pertambahan jarak perjalanan sejauh 27km lebih berbanding dengan model lama dengan penggunaan Battery Management System yang baru, pengecas AC 11kW dan pengecas DC sebesar 250kW

Satu lagi varian yang ditawarkan ialah varian pacuan roda belakang dengan bateri LFP (lithium ferrous phosphate) sebesar 57.5kWh yang menawarkan jarak pemanduan sejauh 513km iaitu pertambahan 22km berbanding dengan model lama. Bagi varian ini ia menggunakan pengecas DC sebesar 170kWh.

Menjengah ke bahagian dalam kabin, anda akan terpegun dengan kegilaan Elon Musk bagi memenuhi mantra “komponen yang paling bagus dalam automotif ialah apabila komponen tersebut langsung tidak diperlukan untuk membina kenderaan”

Di dalam kabin Tesla Model 3 anda tidak menjumpai tombol gear, tuil signal, tuil lampu, tuil pengelap cerman, suis penyaman udara, sistem multimedia dan juga suis penghidup sistem. Semua suis fizikal penting seperti lampu isyarat, suis bunyi audio dan sistem autocruise.

Selain daripada itu, semua suis dan fungsi yang perlu diaktifkan “ditanam” di dalam skrin sebesar 15.4 inci. Malah anda perlu menggunakan skrin untuk menukar gear ke kedudukan D (Drive), R (Reverse), Neutral dan Parkir.

Jika cermin ini rosak, terdapat satu suis kecemasan untuk anda menukar dengan butang kecemasa yang diletakkan di hadapan cermin pandang belakang. Untuk sistem Multimedia, tiada ciri Apple Car play dan Android Auto ditawarkan.

Sistem peta menggunakan sistem yang dihasilkan sendiri oleh Tesla tapi menerima input data trafik daripada Google. Sistem ini boleh memberitahu baki bateri untuk anda sampai ke mana-mana destinasi yang dituju.

Oh ya, untuk anda juga perlu menggunakan kawalan skrin untuk mengubah kedudukan corong penyaman udara dan langkah ini sebenarnya terasa agak ekstrim untuk penulis. Secara keseluruhan Model 3 menawarkan ruang yang besar untuk penumpang.

Ruang kargo depan atau frunk menawarkan sehingga 88 liter ruang kargo manakala ruang belakang adalah 561 liter. Kusyen belakang boleh dilipat bagi menawarkan ruang yang lebih besar untuk membawa barangan yang Panjang

Sistem multimedia disambungkan kepada 17 pembesar suara yang turut mengandungi 2 amplifier dan juga 2 subwoofer menawarkan kualiti bunyi yang boleh tahan sedap. Penulis mengintai jenama pembesar suara yang digunakan tapi hanya menemui jenama Tesla sahaja

Untuk penumpang belakang, unit hiburan terdiri daripada skrin 8 inci yang menawarkan ciri Youtube dan juga Netflix untuk memastikan anak-anak penulis duduk diam di belakang. Ya semua pengeluar boleh buat benda yang sama, tapi Tesla menerajui ciri ini untuk kenderaan mereka.

Tapi sebaik Sahaja anda duduk maka anda akan hargai aspek ergonomic yang ditawarkan oleh Tesla Model 3. Sokongan belakang dan tempat duduk, lokasi pedal serta sudut pemasangan stering adalah kena dengan kedudukan penulis.

Anda masih boleh mengubah kedudukan stering, Cuma ciri tersebut perlu dicari di dalam skrin menjadikan anda perlu memberhentikan kereta untuk mengubah kedudukan stering. Halaju tertinggi bagi Model 3 mencecah 201km/jam, berbanding dengan model sebelum ini mencapai 230km/jam.

Mungkin perubahan ini dibuat untuk menjimatkan penggunaan tenaga. Pecutan 0-100km/jam pula dibuat dalam masa 4.4 saat hasil daripada 456 kuasa kuda dan 493Nm tork dual motor. Hanya 2 mode ditawarkan untuk Model 3 ini samaada Standard atau[un Chill dengan penulis kekal menggunakan mode kedua.

Berdasarkan pengalaman memandu uji kereta elektrik, penulis dapati proses brek regenerative yang ditawarkan oleh Model 3 mungkin antara yang terbaik dihasilkan. Proses brek adalah lancar, lembut dan meyakinkan berbanding dengan jenama lain. Secara purata penggunaan tenaga adalah sekitar 118kWh/km dan boleh dicapai jika anda memandu berhemah di Kawasan bandar

Suspensi depan dibangunkan dengan rekaan double wishbone manakala suspense belakang belakang menggunakan multilink. Biarpun menggunakan rekaan suspense yang lebih kompleks dan bateri yang sama saiz, Tesla Model 3 adalah lebih ringan berbanding dengan Hyundai Ioniq 6 AWD Performance

Tesla Model 3 ini hanyalah seberat 1828kg sahaja berbanding dengan Ioniq 6 yang mencecah 2020kg. Talaan suspensi, dinamik pengendalian serta keselesaan yang ditawarkan oleh Model 3 boleh dipuji untuk sebuah kereta elektrik yang menggunakan sistem penyerap hentak pasif

Anda masih boleh memecut laju di selekoh dengan yakin, melalui permukaan jalan yang tidak rata dengan selesa dan tiada olengan cesi yang menghasilkan kesan membuai apabila melalui jalan tidak rata.

Selain diberikan kusyen dengan ciri penyejukan terbina dalam, pemandu juga akan menikmati perjalanan yang lebih senyap hasil penggunaan cermin sisi dan depan yang dihasilkan dengan kaedah 2 lapis.

Dalam aspek keselamatan, Model 3 menawarkan ciri keselamatan termaju dan dalam masa 3 hari kami sebenarnya tidak sempat untuk menguji semua sistem yang disediakan. Sistem sonar, radar dan juga 8 kamera memastikan Model 3 boleh menghasilkan imej 3D untuk pemantauan. Malah operasi sistem Adaptive Cruise Control juga adalah lancar

Sistem AED diintegrasikan dengan sistem pemantauan titik buta, membrek sekiranya mengesan pemandu lalai dan memasuki laluan sisi sewaktu ada kenderaan lain di sisi. Sistem amaran titik buta memberi amaran dengan 3 cara iaitu lampu LED merah, amaran pada skrin dan juga amaran pada cermin sisi.

Model 3 juga akan merakam keadaan sekeliling apabila pintu mulai dikunci dalam mode Sentry. Semua insiden  yang berlaku dan dirakam oleh kamera akan dihantar ke telefon pintar pemilik ataupun boleh dilihat menerusi skrin di dalam kereta. Hanya ciri Auto High Beam Sahaja yang kurang memuaskan pada hemat penulis.

Namun Model 3 adalah sebuah kereta yang cukup kompeten dan selamat, menerima pujian dan pengiktirafan daripada perlindungan pasif menerusi ujian daripada NCAP, ANCAP, Safety Pick +, IIHS dan juga NHTSA dengan skor 5 bintang

Tesla Model 3 ditawarkan dengan 2 varian samaada pacuan roda belakang RWD yang bermula dengan harga RM 189,000 ataupun pacuan semua roda dual motor yang berharga sekitar RM 218,000. Ini merupakan harga asas dengan warna putih sahaja. Jika anda mahukan warna lain, sila tambah RM 7500.

Anda mahukan tayar 19 inci, tambah lagi RM 7500. Anda mahukan Enhance Auto Pilot, maka tambah lagi RM 16,000. Untuk pakej Full Self Driving pula, anda perlu menyediakan RM 32,000. Mungkin harga yang perlu dibayar mencecah RM 250,000 jika anda memilih semua pakej yang disediakan

Namun harga tersebut merangkumi 4 tahun jaminan dan 80,000km perjalanan untuk kenderaan. Manakala sistem bateri pula dijamin dalam tempoh 8 tahun atau 160,000km. Jika anda seorang teknologis atau seorang yang menggemari gajet, maka Tesla Model 3 ini adalah kereta yang sesuai untuk anda.

Tapi jika anda seorang tradisionalis atau menggemari cara tradisional, maka rekaan Tesla Model 3 ini sukar untuk dihadam oleh anda

Google ads
Back to top button