Buletin

LELONG KERETA SITA, JPJ BERJAYA KUTIP RM5.9 JUTA DALAM TEMPOH JAN-MEI 2022

Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) telah meraih kutipan sebanyak RM5.9 juta hasil jualan kenderaan lelong yang dilakukan dalam tempoh Januari hingga Mei tahun ini.

Timbalan Ketua Pengarah (Pengurusan) JPJ, M Janagarajan berkata, ia membabitkan 636 kenderaan yang dilucut hak termasuk kereta, motosikal dan sebagainya dalam sesi lelongan yang dilakukan di beberapa negeri di seluruh negara.

Menurutnya, semua kenderaan yang dilelong itu adalah kenderaan yang dilucut hak melalui perintah mahkamah mengikut peruntukan Seksyen 64 Akta Pengangkutan Jalan 1987.

“Lelongan dilakukan secara bidaan bagi membolehkan setiap pembida membeli secara telus. Kenderaan yang dilelong ini boleh didaftarkan semula atau boleh digunakan yang mana ia akan diuruskan pihak JPJ. Bagi kenderaan yang tidak boleh didaftarkan,  biasanya ia akan digunakan untuk alat ganti,” katanya.

Janagarajan berkata demikian ketika ditemui pada sidang media selepas Majlis Lelongan Awam Bil 1/2022 di JPJ Terengganu.

Turut hadir Pengarah JPJ Terengganu Zulkarnain Yasin.

Dalam pada itu, harga kereta klon yang jauh lebih rendah daripada harga pasaran dan keadaan kereta yang masih baik menjadi faktor utama ia masih menjadi pilihan pengguna.

“Dalam kes membeli kenderaan klon, individu itu boleh dikenakan denda minimum RM5,000 dan maksimum RM20,000 bagi setiap kesalahan iaitu menggunakan kenderaan klon, nombor pendaftaran palsu, insurans palsu, lesen kenderaan motor palsu dan menggunakan kenderaan tidak daftar,” katanya. – Harian Metro

Google ads
Back to top button