Buletin

PENDAPATAN TERJEJAS, RUNNER JPJ MUNGKIN TERPAKSA CARI KERJA LAIN

Susulan pengumuman kerajaan mengenai sistem digitalisasi lesen memandu dan pelekat cukai jalan, kini runner atau orang tengah di Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) mungkin terpaksa menukar pekerjaan sekiranya perkhidmatan sedia ada tidak diperlukan lagi.

Seorang runner persendirian, Rahim, 38, berkata ketika ini perkhidmatan itu masih mendapat sambutan dan diterima baik dalam kalangan pelanggan.

Sebagai persiapan awal, dia juga terpaksa memikirkan pekerjaan lain yang lebih selamat sekiranya pendapatan mula terjejas.

Menurutnya, dia tidak menolak kemungkinan sebahagian besar pelanggan berusia 40 tahun ke bawah akan beralih kepada sistem digital.

“Kos upah untuk berurusan di JPJ adalah termasuk duit minyak, makan dan jarak perjalanan dikenakan hanya maksimum RM10 hingga RM15.

“Dalam tempoh seminggu, jumlah pendapatan mampu diperoleh untuk perkhidmatan memperbaharui cukai jalan kira-kira RM150 hingga RM500, bergantung kepada bilangan pelanggan sedia ada.

“Saya ada terfikir, sekiranya pendapatan perkhidmatan ini mula terkesan, mungkin saya tukar kerjaya lain sebagai penghantar makanan atau despatch,” katanya kepada Kosmo!

Seorang lagi runner dikenali sebagai Ronney, 40-an, dia tidak berasakan yang kerjaya ini akan terkesan memandangkan semua pemilik kenderaan masih perlu memperbaharui cukai jalan setiap tahun.

“Bukan tidak perlu perbaharui cukai jalan cuma tidak perlu ditampal pada cermin kenderaan sahaja. Bagi kami, ini tiada masalah dan tidak akan terjejas pendapatan.

“Pelanggan berusia 40 tahun ke atas masih memerlukan khidmat runner. Bayangkan jika seminggu seorang runner terima sekurang-kurangnya 30 permohonan, pendapatan kasar sudah mencecah RM400 dalam sehari,” jelasnya. – Kosmo

Google ads
Back to top button