
JPJ UMUM PEMANGGILAN SEMULA BEBERAPA MODEL KIA, FORD DAN MERCEDES
Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) hari ini melalui akaun Facebook rasmi, mengeluarkan kenyataan Pemanggilan Semula (Product Recall) untuk beberapa model kenderaan.
Ia merupakan artikel siri kedua disiarkan setelah siri pertama dihebahkan pada sekitar April lalu.

Di hantaran tersebut, turut dinyatakan adalah beberapa jenis kenderaan dipanggil semula antaranya Kia, Mercedes-Benz dan Ford.
Menurut JPJ, hebahan kali ini adalah berdasarkan kepada rekod yang terima oleh pihak JPJ selain pengeluar kenderaan memaklumkan bahawa terdapat kesukaran untuk menghubungi pemilik-pemilik kenderaan disebabkan oleh maklumat tidak dikemaskini.

Tambah JPJ, terdapat juga kenderaan yang telah bertukar hak milik tetapi tiada sebarang kemaskini dilakukan oleh pemilik.
“Justeru itu, adalah menjadi tanggungjawab pemilik kenderaan untuk mengemaskini maklumat peribadi di pusat servis kenderaan bertauliah,” memetik hantaran Jabatan Pengangkutan Jalan.

“Pengabaian terhadap aspek dan tanggungjawab pengemaskinian maklumat oleh pemlik kenderaan akan menyebabkan pemilik tidak dapat dihubungi lantas menyebabkan kenderaan tersebut tidak dapat diperbaiki dengan sewajarnya.

“Keadaan ini meningkatkan risiko kepada pemandu serta penumpang kenderaan oleh kerana komponen kenderaan tidak dapat berfungsi dengan baik.” – Facebook JPJ