
LEXUS PERKENALKAN MINIVAN KONSEP LS ENAM RODA!
Setelah memperkenalkan LS Heritage Edition sebagai penghormatan kepada model yang melahirkan jenama mewah Toyota, kini pengeluar Jepun itu tampil dengan sesuatu yang langsung tidak dijangka, iaitu sebuah minivan konsep berjenama LS, lengkap dengan enam roda.
Langkah berani ini mencerminkan perubahan besar dalam citarasa pengguna masa kini. Kalau dulu sedan LS menjadi simbol kemewahan tradisional, kini ramai pelanggan lebih menggemari keselesaan ala limosin dalam bentuk minivan, seperti yang dibuktikan melalui model Lexus LM, versi premium kepada Toyota Alphard. Namun kali ini, Lexus mahu melangkah lebih jauh lagi.
Konsep luar biasa itu akan membuat kemunculan sulung di Japan Mobility Show 2025, pameran yang dahulunya dikenali sebagai Tokyo Motor Show.
Dalam satu siaran langsung berdurasi 90 minit, penonton yang menjangkakan kemunculan supercar LFR terkejut besar apabila Lexus menayangkan kelibat LS Minivan enam roda ini.

Daripada imej samar yang dipertontonkan, reka bentuknya tampak berani dan futuristik. Bahagian sisi kelihatan seperti hanya memiliki satu pintu gelangsar elektrik bersaiz besar. Bentuknya yang tinggi dan berkotak menonjolkan imej “suite mewah atas roda”, sesuai dengan reputasi LS sebagai model unggul Lexus.
Tiada maklumat rasmi diumumkan setakat ini, tetapi ramai menjangka ia dikuasakan sepenuhnya oleh motor elektrik, sejajar dengan hala tuju elektrifikasi jenama tersebut.
Sistem pacuan enam roda yang dipadankan dengan lampu nyalaan menegak dari bampar hingga bumbung menjadikannya kelihatan seperti kenderaan dari masa hadapan.
Walaupun agak sukar membayangkan Lexus benar-benar menghasilkan versi produksi minivan enam roda ini, konsep sebegini jelas bertujuan menarik perhatian dan menguji reaksi pasaran.
Ia juga mengisyaratkan bagaimana Lexus sedang menilai semula makna “kemewahan” dalam era mobiliti baharu.
Selain LS Minivan, Lexus dijangka turut menampilkan Century coupe dan mungkin juga konsep Corolla baharu di pentas pameran yang sama.
- BACA: MASERATI GRECALE TRIBUTO II BRUCIATO – SEBUAH MODEL ISTIMEWA DENGAN LAYANGAN CAT YANG LAWA
- BACA: TOYOTA bZ4X FACELIFT TAWAR JARAK GERAK HINGGA 746KM, KUASA 342HP – HARGA BERMULA RM120K
- BACA: SUBARU STI BAKAL MUNCUL DI JAPAN MOBILITY SHOW 2025, ADA VERSI EV DAN HIBRID!
- BACA: PROTON e.MAS 5 TERIMA LEBIH 3,000 TEMPAHAN, e.MAS 7 KEKAL PILIHAN UTAMA



