LEXUS TX BAKAL TIBA DI PASARAN AMERIKA UTARA 2024, 4 VARIAN, HARGA SEKITAR LEBIH RM225K
Lexus baru-baru ini mendedahkan model baharu direka khusus untuk pasaran Amerika Utara iaitu crossover ‘adult-friendly’, Lexus TX. Model ini akan ditawarkan dalam varian Standard, Premium, Luxury dan F Sport Performance.
Lexus TX 2024 mempunyai dimensi 5,159mm (panjang), 1,989mm (lebar), 1,781mm (tinggi) dan jarak roda pada 2,949mm.
Sebagai perbandingan, model ini adalah 117mm lebih panjang berbanding Cadillac XT6 dan mempunyai jarak roda 86mm lebih panjang.
Dari segi reka bentuk, ia tampil ringkas tetapi kelihatan agresif dengan padanan lampu hadapan nipis dan DRL LED sementara di bahagian belakang menerima bar lampu nipis. Ia diserlahkan lagi menerusi rim bersaiz 20 atau 22-inci.
Bahagian dalaman Lexus menggunakan estetika minimalis – mewah termasuk menawarkan kluster instrumen digital 12.3-inci dan sistem infotainmen standard 14-inci.
Perincian lain termasuklah paparan kepala, pencahayaan ambien, sistem audio premium Mark Levinson 21 pembesar suara, tempat duduk hadapan dengan fungsi pemanasan dan berventilasi. Di bahagian penumpang baris kedua, turut disertakan ialah kawalan iklim serta pemanas tempat duduk.
Anda akan mendapati tempat duduk baris kedua boleh dilipat selain, terdapat pemegang cawan serta ruang penyimpanan. Ciri-ciri lain, Lexus menyediakan suis pada bahu tempat duduk baris kedua untuk mencondongkan tempat duduk ke bawah.
Dari segi ruang, TX menawarkan 569 liter ruang di belakang baris ketiga, boleh meningkat kepada 1,625 liter dengan melipatnya ke bawah, manakala 2,747 liter ruang bagasi tersedia apabila melipat tempat duduk baris kedua dan ketiga.
Seperti Grand Highlander, Lexus TX akan ditawarkan dengan tiga rangkaian kuasa berbeza. Menariknya, TX 350 standard mempunyai pengecas turbo 2.4 liter empat silinder yang menghasilkan 275hp dan 429Nm.
Enjin itu disambungkan kepada transmisi automatik lapan kelajuan, dipasangkan dengan sistem pacuan semua roda yang tersedia.
Bagi varian TX 500h F Sport Performance, ia menampilkan rangkaian kuasa hibrid dengan enjin empat silinder 2.4 liter pengecas turbo, transmisi enam kelajuan dan sistem pacuan semua roda Direct4.
Penjana kuasa itu menghasilkan 366hp, tork 554Nm, iaitu hanya 4hp, 12Nm lebih daripada Grand Highlander Hibrid Maks.
Tambahan, TX 500h mempunyai sistem Stereng Belakang Dinamik, di mana ia boleh memusingkan roda belakang ke arah sama atau bertentangan melalui roda hadapan. Ini membantu meningkatkan kestabilan berkelajuan tinggi serta kebolehgerakan kelajuan rendah.
Varian ketiga dan terakhir ialah plug-in hybrid TX 550h+, dikuasakan oleh enjin 3.5 liter V6, menghamburkan kuasa 406hp. Ia menawarkan jarak gerak sehingga 53km.
Sistem bantuan pemandu Lexus Safety System+ 3.0 adalah standard yang merangkumi Kawalan Persiaran Radar Dinamik Semua Kelajuan, Bantuan Pengesanan Lorong (Pemusatan Lorong) dan Sistem Pra-Perlanggaran dengan Pengesanan Pejalan Kaki, Makluman Berlepas Lorong dengan Bantuan Pemandu, Bantuan Papan Tanda Jalan dan Bantuan Pemanduan Proaktif.
Selain sistem bantuan pemandu standard, pelanggan juga menerima sistem Advanced Park bagi memudahkan pemandu.
Untuk harga, tiada pendedahan rasmi dinyatakan oleh Lexus tetapi ia dianggarkan sekitar AS$48,950 (RM225,757) dan hanya berada di pasaran Amerika Utara pada tahun hadapan.
GALERI:
- BACA: LEXUS LC 500 ULTIMATE EDITION 5.0L V8, MODEL COUPE DAN BUKA BUMBUNG!
- BACA: LEXUS LBX, SUV KECIL PLATFORM GA-B, 1.5L 3 SILINDER HIBRID
- BACA: LEXUS MALAYSIA LANCAR BILIK PAMERAN MESRA ALAM DI KLANG, TAWAR PENGALAMAN BAHARU
- BACA: LEXUS DEDAH GAMBAR ACAH LBX SERBA BAHARU, DEBUT 5 JUN INI – JANA KUASA 114HP