Buletin

LEXUS LC 500 ULTIMATE EDITION 5.0L V8, MODEL COUPE DAN BUKA BUMBUNG!

Kepada individu yang inginkan kereta berprestasi selain buatan Eropah, ada pilihan menarik dari Jepun iaitu Lexus LC 500.

Model ini diperkenalkan pada 2016 dan dikeluarkan sejak 2017. Pelanggan tempatan boleh memesannya melalui Lexus Malaysia dan ditawarkan pada harga RM1,379,000.

Mahal? LC berada di dalam liga BMW 8 Series, Jaguar F-Type dan Mercedes-Benz SL.

Dari segi reka bentuk, LC menggabungkan gaya elegan, lembut dan garang sekaligus. LC membawa seni Jepun ke peringkat antarabangsa.

Kini ada varian baharu yang ditawarkan iaitu LC 500 Ultimate Edition Coupe dan Convertible dan dikeluarkan dalam jumlah terhad untuk pasaran global.

Ciri menonjol pada Ultimate Edition ialah warna Hakugin White dengan kemasan kusam (matt).

Warna putih dikontra dengan riasan hitam pada gril, cermin sisi, pendakap tepi lampu depan, bahagian bawah bampar belakang dan rim aloi 21 inci. 

Tema tersebut membawa ingatan kepada kereta super Lexus LFA.

Bahagian dalam istimewa dengan balutan Kachi-Blue. Lexus menggunakan kulit separa anilina untuk Coupe dan gabungan suede seperti Alcantara dan kulit pada Convertible.

Lexus tidak bermain dengan warna sahaja dan Ultimate Edition dilengkapi ciri aerodinamik seperti sirip (canard) pengawalan aliran udara pada bampar depan.

Model Coupe mempunyai sayap belakang karbon hitam yang berfungsi secara automatik.

Bentuk sayap itu menggunakan input dari juruterbang aerobatik dan lumba Yoshihide Muroya yang mendapat tajaan Lexus dan pasukan beliau. 

Karyawan Takumi Lexus diberi tugas untuk menala enjin 5.0 liter V8 supaya lebih lancar dan turut memberi perhatian pada pembeza belakang bagi mendapatkan respon pecutan lebih tajam.

Enjin itu menghasilkan 457 bhp dan dipadan bersama transmisi automatik sepuluh kelajuan Direct Shift.

Kelengkapan lain Ultimate Edition menyamai varian teratas LC Sport Pack+ dengan penambahan papar pandu (HUD( berwarna dan Panoramic View Monitor.

Turut dilengkapi sistem Mark Levinson Reference Audio dengan 13 pembesar suara, pelapik alang pintu Limited Edition dan plak nombor siri pada konsol tengah.

Pengeluaran Lexus Ultimate Edition akan bermula di Jepun pada September dan hanya sepuluh unit ditawarkan kepada pelanggan di United Kingdom.

Lexus Ultimate Edition Coupe dijual pada harga 116,000 pound (RM671,061) dan 122,000 pound (RM705,841) untuk Convertible.

Google ads
Back to top button