Buletin

LISTER LFT-C CASIS 001 DAH SIAP, 666 BHP – RM723K SAHAJA

Sebelum ini kami pernah siarkan dua artikel mengenai Lister Motor Company, sebuah syarikat British diasaskan pada tahun 1954 yang aktif di dalam dunia perlumbaan, senyap untuk beberapa ketika dan tiga kali bertukar tangan.

Lister sekarang dimiliki pasangan ayah dan anak Andrew dan Lawrence Whittaker.

Lister era baharu mempunyai perancangan hebat dengan mengeluarkan dua buah model baharu iaitu coupé dan SUV.

Menariknya Lister tidak menghasilkan sendiri model baharu yang menelan belanja besar tetapi menggunakan model sedia ada daripada Jaguar.

Lister secara tradisinya mengeluarkan model Jaguar yang diubah suai sebelum era Andrew dan Lawrence Whittaker lagi.

Di dalam artikel pertama Lister kami ceritakan tentang model sulung era baharu iaitu LFT-666 yang ditawarkan sebanyak 99 unit sahaja.

Dalam masa tersebut terdapat permintaan untuk versi boleh buka bumbung dan ini lah hasilnya, Lister LFT-C dengan nombor casis 01 dan dipertontonkan di ibu pejabat di Lancashire.

Model coupe ini lebih terhad iaitu sebanyak sepuluh unit sahaja akan dikeluarkan.

Lister LFT-C dibekalkan enjin V8 berkuasa 666 bhp dengan kelajuan maksimum 330 km/j dan pecutan dari 0 hingga 100 km/j lebih sikit daripada tiga saat.

Binaan badan coupe ini bukan mudah, panelnya diperbuat daripada gentian karbon yang turut memberikan kesan kepada berat dan aerodinamik kereta.

Di antara kit baharu pada model ini ialah bampar, splitter depan, peresap belakang, lip spoiler belakang, arka roda belakang dan gril rekaan baru yang membantu dari segi aerodinamik terutama sekali semasa kelajuan tinggi.

Model coupe ini turut menggunakan komponen sama dengan LFT-666 seperti roda khas, ekzos, suspensi dan sistem brek.

Hasilnya ialah sebuah kereta yang sesuai untuk dinikmati mahupun di litar lumba atau jalan biasa tanpa mengorbankan keselesaan jalanan atau prestasi di litar.

Walaupun tema utama Lister adalah prestasi, interior LFT-C dilimpahi kemewahan seperti sulaman tangan, balutan kulit Nappa buatan Bridge of Weir yang dibuat mengikut kehendak pelanggan.

Tempahan untuk LFT-C sudah dibuka dan ia boleh dimiliki pada harga permulaan £139,000 atau RM722,964.

*£1 = RM5.20

Tags
Google ads
Back to top button