Buletin

BILIONAIR ITALI RUGI RM157 JUTA KAPAL LAYAR JATUH KE LAUT

Kita biasa dengar seseorang hilang kereta, motosikal atau basikal dalam kemalangan.

Tetapi, seorang bilionair berada dalam kelas tersendiri apabila sebuah kapal layar mega miliknya dilapor hilang di Laut Mediterranean selepas ia jatuh daripada kapal kargo yang mengangkutnya.

Kapal layar sepanjang 130 kaki yang diberi nama MY Song itu berharga AS$38 juta (RM157 juta). 

MY Song dikatakan terjatuh dan ‘terendam’ selepas dibadai ribut dan ombak besar. Walaupun tidak karam, namun insiden itu menyebabkannya mengalami kerosakan yang serius. 

Laporan terkini memberitahu kapal layar tersebut kali terakhir dilihat kira-kira 40 batu dari utara pulau Menorca dengan sebahagian besar badannya sudah ditenggelami air.

Kapal layar itu sebenarnya dimiliki oleh bilionair Itali, Pier Luigi Loro Piana yang dalam perjalanan ke acara Loro Piana Superyacht Regatta di Porto Cervo, Sardinia, Itali. 

Ia sepatutnya dibawa ke sana menggunakan sebuah kapal kargo besar selepas berlayar di sekitar lautan Amerika Utara. 

Pier Luigi ialah cucu kepada Poetro Loro Piana pengasas syarikat pakaian ultra mewah. Laporan terakhir Forbes menganggarkan kekayaan Loro Piana adalah sebanyak AS$1.6 bilion (RM6.62 bilion). 

MY Song siap dibina pada tahun 2016 dan berjaya memenangi Anugerah Superyacht Dunia 2017 untuk kategori yacht pelayaran terbaik dalam kelasnya.  

Google ads
Back to top button