Artikel PilihanBuletin

MAHU RAKYAT BELI EV? INSENTIF CUKAI DAN STESEN CAS FAKTOR UTAMA

Sekarang ini isu kenderaan elektrik (EV) menarik perhatian ramai. Daripada netizen hingga kepada pemimpin negara bercakap tentang EV.

Tidak dinafikan, EV mempunyai kelebihan berbanding teknologi tradisional terutama sekali dari segi penjimatan penggunaan dan alam sekitar.

Soalnya sekarang ini adakah kita sudah bersedia atau hanya sekadar bercakap tanpa tindakan.

Mengulas isu EV, Naib Presiden Kanan Serantau, Asia & Oceania Nissan Motor Corporation, Yutaka Sanada memberikan satu pendapat yang bagus dan langkah-langkah berkesan untuk menggalakkan penggunaannya.

Menurut beliau, Nissan mengambil langkah holistik dalam bidang ini. EV bukan sahaja tentang kereta tanpa emisi malah lebih daripada itu dan merangkumi integrasi EV ke tempat tinggal dan kerja.

Berita baiknya ialah ramai pengguna di Asia Tenggara bersedia untuk bertukar kepada kenderaan mesra alam. NIssan baru-baru ini telah meminta firma Frost & Sullivan untuk melakukan kajian di negara Asia Tenggara.

Hasil kajian tersebut mendapati satu daripada tiga pengguna (37%) terbuka untuk membeli EV sebagai kereta mereka yang seterusnya. Pengguna juga mempunyai pengetahuan yang baik dari segi perbezaan teknologi di pasaran sekarang termasuk bateri plug-in dan hibrid.

Dalam kajian sama juga didapati bahawa kerajaan perlu memainkan peranan kritikan dalam penerimaan EV di rantau ini.

Majoriti pengguna mengatakan pengecualian cukai adalah faktor utama untuk beralih kepada kenderaan elektrik.

Selain itu, kemudahan turut memainkan peranan penting seperti stesen pengecasan di pangsapuri. Dalam erti kata lain, kedua-dua sektor awam dan swasta perlu melabur dalam aspek masa, tenaga dan sumber untuk menjayakan program ini.

Satu contoh kejayaan yang diutarakan Yutaka Sanada ialah penerimaan EV di Norway.

Menurut beliau, Norway adalah contoh yang baik jika tindakan betul dilaksanakan. Di sana, kerajaan memberikan pelbagai insentif untuk mempercepatkan penerimaan EV.

Di antara langkah yang diambil oleh Norway ialah pengecualian cukai dan pembinaan infrastruktur pengecasan. Hasilnya 35 peratus kenderaan baharu yang terjual mempunyai teknologi plug dengan sasaran kenderaan zero emisi untuk semua kereta baharu menjelang 2025.

Negara lain seperti Belanda pula mempunyai sasaran sama pada tahun 2030 manakala United Kingdom pula pada tahun 2040.

Kerajaan di Asia Tenggara juga menuju ke arah sama. Singapura telah melancarkan program perkongsian kenderaan elektrik pertama dan 2,000 poin pengecasan dijangka disiapkan menjelang 2020 berbanding 32 pada tahun lalu.

Di Thailand pula, Nissan telah menandatangani memorandum persefahaman dengan Metropolitan Electricity Authority untuk menyediakan outlet pengecasan pantas di tempat tinggal.

Buat masa sekarang, hanya satu daripada kereta yang terjual adalah EV namun apabila teknologi semakin maju dan kos bateri serta faktor lain menurun masa depan EV akan terus cerah.

Teknologi mesra alam penting bukan sahaja untuk masa terdekat tetapi juga sebagai kelestarian untuk anak cucu kita.

BACA: NISSAN LEAF BAKAL DIJUAL DI MALAYSIA? ADA YANG BERMINAT?

BACA: SEJUTA NISSAN JUKE – TERIMA KASIH, ANDA ADALAH LEGENDA

Google ads
Back to top button