
JAGUAR I-PACE KINI DI MALAYSIA. 400PS/696NM, 470KM SEKALI CAJ, BERMULA RM460K
Jaguar Land Rover Malaysia hari ini secara rasmi melancarkan Jaguar I-PACE, kenderaan utiliti premium sport (SUV) elektrik pertama sepenuhnya daripada Jaguar ke pasaran Malaysia.
Jaguar I-PACE yang menyatukan ciri-ciri praktikal dan kelestarian dalam reka bentuk kontemporari telah memenangi lebih daripada 80 anugerah di peringkat global, termasuk ‘Kereta Terbaik Dunia’, ‘Reka Bentuk Kereta Terbaik Dunia’ dan ‘Kereta Hijau Dunia’.
SUV itu hadir dalam dua varian iaitu LE dan HSE pada harga bermula RM460,800 dan RM498,800 seunit. Varian berkenaan dibezakan menerusi ciri suspensi udara, sistem bunyi Meridien dan tempat duduk sports bagi versi HSE.

Kedua-duanya menggunakan dua unit motor elektrik rekaan Jaguar yang dipasang pada setiap gandar. Motor itu mampu menghasilkan kuasa gabungan mencecah 400PS dan 696Nm, selain binaan aluminium dan pusat graviti yang rendah danseni bina I-PACE memberikan keseimbangan luar biasa.
Dilengkapi bateri berkapasiti 90kWj, I-PACE menawarkan jarak gerak sehingga 470mkm dengan sekali caj. Pelanggan boleh menikmati kadar pengecasan lebih pantas apabila disambungkan ke wallbox 11kW dengan jarak 53km dicapai dalam sejam.
Manakala kadar pengecasan dari sifar kepada penuh dalam masa 8.6 jam, sekali gus membolehkan kereta dicas semalaman di rumah.

Jaguar I-PACE mempunyai kelebihan tersendiri dalam segmennya dengan keupayaan memecut dari sifar ke 100 km/j dalam masa 4.8 saat dan pecutan 400m dalam masa 12.4 saat, serta boleh mengharung air sedalam 500mm.
Jentera itu sedia memberikan prestasi cemerlang, dengan pecutan linear yang serta-merta dan lancar, keselesaan perjalanan dan dinamik pemanduan yang menarik menerusi suspensi udara.
Ruang dalam kenderaan yang luas dan bergaya mewujudkan keseimbangan paling sempurna antara kereta sport klasik Jaguar dan mutu ciptaan serba mewah.
Direka bentuk dengan mengambil kira pengalaman pemandu, ruang dalaman kereta dilengkapi teknologi inovatif, termasuk sistem infohibur Pivi Pro dipacu pemproses terkini yang boleh dihidupkan dengan pantas.

Pada papan pemuka, pemandu boleh menggunakan kluster instrumen maya definisi tinggi bersaiz 12.3 inci, skrin sentuh atas dan bawah 10-inci dan 5-inci yang memaparkan kawalan putaran haptik berbilang fungsi, serta grafik yang kemas dan terang untuk memberi pengalaman yang intuitif.
Dengan inisiatif Kerajaan untuk menggalakkan penggunaan EV dan mencapai pengangkutan rendah karbon, rakyat Malaysia juga boleh mengambil kesempatan dengan memiliki Jaguar I-PACE pada harga yang lebih berpatutan menerusi konsesi bebas cukai Kerajaan bagi EV CBU.
Jaguar I-PACE didatangkan dengan waranti komprehensif selama 5 tahun atau 150,000km (mana-mana tiba dahulu) dan khidmat bantuan tepi jalan 3 tahun.
Ia ditawarkan dengan servis percuma sehingga 5 tahun atau 102,000km serta waranti bateri EV sehingga 8 tahun atau 160,000km (mana-mana tiba dahulu).

Jaguar Land Rover Malaysia juga memberikan kredit percuma RM1,000 dalam aplikasi DC GoToU bagi setiap tempahan yang diterima dalam tempoh pelancaran sehingga 28 Mei 2023. Ini membolehkan pengguna meninjau lokasi pengecasan dengan mudah sepanjang perjalanan.
Tempahan SUV EV itu boleh dibuat di bilik pameran Jaguar di Ara Damansara dan Pulau Pinang. Pelanggan yang berminat boleh mendaftar di https://www.jaguar.com.my/i-pace-viewing-registration-form dan dijemput ke acara pelancaran pada hari Rabu, 29 Mac 2023, di Jaguar Land Rover, Sime Darby Motors City, Ara Damansara.
Maklumat lanjut, hubungi pasukan jualan di talian 03-7651 2000 (Ara Damansara) atau 04-226 2279 (Pulau Pinang) atau layari https://www.jaguar.com.my/
GALERI














