
LOLA SERTAI FORMULA E! YAMAHA SEBAGAI RAKAN KERJASAMA TEKNIKAL
Lola Cars merupakan nama besar di dalam sukan permotoran antarabangsa.
Diasaskan Eric Broadley pada 1958, Lola Cars telah merekabentuk dan mengeluarkan hampir 5,000 kereta lumba yang terdiri daripada 400 jenis model berbeza.
Sebut sahaja perlumbaan, nama Lola Cars berada di dalam pelbagai kejohanan seperti IndyCar, Le Mans, Formula 1, Can-Am, Formula 3000, Formula 5000, A1GP, Formula Ford dan Kereta Touring.
Lola Cars dibeli oleh Till Bechtolsheimer pada 2022 dan bersama pasukannya membangunkan rancangan syarikat dari ibu pejabat global baharu di Silverstone, United Kingdom.
Terbaru Lola Cars mengumumkan penyertaan di dalam Kejohanan Dunia Formula E bersama rakan kerjasama teknikal Yamaha Motor Company bermula Musim 11.
Lola Cars sedang bekerjasama dengan Yamaha bagi membangunkan dan membekalkan rangkaian kuasa untuk bersaing di dalam Formula E.
Kerjasama ini adalah yang pertama daripada beberapa projek utama yang dirancang bagi mengukuhkan semula Lola Cars sebagai peneraju di dalam kejuruteraan mampan dan sukan permotoran.
Tumpulan Lola Cars ialah pada tiga bidang utama iaitu elektrifikasi, hidrogen, bahan api dan bahan lestari.
Yamaha pula bukan asing di dalam sukan permotoran empat roda dan pernah membangunkan dan membekalkan enjin untuk pasukan Formula 1.
Di dalam program terbaru ini Yamaha mengharapkan untuk mendapatkan lebih banyak teknologi pengurusan tenaga termaju.
Selain itu, Lola Cars sudah lama bertapak di dalam sukan permotoran Jepun di antaranya Kejohanan Super Formula Jepun (All Japan F3000) dan menjuarai 13 kejohanan dalam tempoh dua dekad sejak 1987.
Lola juga juga bekerjasama dengan pengeluar Jepun bagi menghasilkan jentera lumba di dalam Formula 1, IndyCar dan Le Mans.
Sejak Musim 1 2014, Formula E sudah tiga kali bertukar kereta yang lebih berkuasa dan pada 2022/23 menggunakan kereta GEN3.
Kereta GEN3 lebih kecil dan tangkas dengan kuasa dan regenerasi maksimum 470 bhp dan 600 kW. Pengembalian tenaga melebihi 40 peratus.
Berbeza dengan dua generasi sebelum ini, kereta GEN3 mempunyai rangkaian kuasa di depan dan belakang berbanding belakang sahaja.
Daya pecutan dari 0 sehingga 100 kilometer sejam (km/j) hanya sekitar dua saat dan kelajuan tertinggi mencecah 320 km/j dan paling laju berbanding sebelum ini.
Berat terendah yang dibenarkan termasuk pemandu ialah 840 kilogram (kg).