
LRT LALUAN KELANA JAYA DITUTUP, WANITA DISAMUN DI STESEN LRT SRI RAMPAI, HILANG LAPTOP MILIK SYARIKAT DAN TELEFON PINTAR
Laluan LRT Kelana Jaya telah tergendala sejak Selasa menimbulkan banyak masalah kepada pengguna terutamanya pada waktu puncak selain isu keselamatan juga perlu dititikberatkan.
Hanya sehari setelah gangguan tersebut, pihak Rapid KL memaklumkan kepada awam bahawa mereka akan menghentikan seketika perkhidmatan LRT laluan Kelana Jaya selama tujuh hari untuk tujuan pembaikan.
Lebih mengejutkan, pengumuman tersebut diumumkan pada pagi Rabu, ketika orang ramai sedang bersiap pergi ke tempat kerja.

Gangguan tersebut sememangnya merencatkan jadual perjalanan bagi setiap pengguna hingga memaksa pengguna menunggu bas yang telah disediakan.
Seperti hebohnya warganet di hampir semua platform media sosial dengan kiriman-kiriman foto mengenai situasi semasa, ia boleh dikatakan sebagai hilang kawalan dan membuatkan pengguna LRT laluan Kelana Jaya seperti hilang arah.
Selain frekuensi bas begitu lama, mod pengangkutan alternatif seperti Grab juga sukar untuk didapatkan menyebabkan ada yang mengambil keputusan untuk berjalan kaki.
Menerusi akaun Twitter sophia (@soph_jes), disebabkan penutupan laluan LRT tersebut menyebabkan dia disamun ketika menunggu bantuan dari bapanya untuk menghantarnya ke tempat kerja setelah mengetahui laluan LRT Kelana Jaya ditutup selama tujuh hari pada pukul 7 pagi, Rabu.
Menurut tweet dimuat naik oleh mangsa, kejadian tersebut berlaku di LRT Sri Rampai. Meskipun tidak mengalami sebarang kecederaan, namun mangsa telah kehilangan komputer riba milik syarikat serta telefon pintar.
“Pada awalnya, saya enggan melepaskan beg. Tetapi, selepas lelaki tersebut bertindak mengoyakkan beg menggunakan pisau, saya melepaskan beg sebelum mereka melarikan diri,” memetik penjelasan mangsa kepada Astro Awani.
Wanita berkenaan difahamkan telah membuat laporan di Balai Polis Setiawangsa dan pihak polis akan menyiasat kejadian samun tersebut.








