
SUBKONTRAKTOR DAN PEMBEKAL PROJEK LRT3 TUNTUT HUTANG RM25 JUTA
Sekumpulan subkontraktor dan pembekal tempatan dalam projek Transit Aliran Ringan 3 (LRT3) menuntut sebuah syarikat China melunaskan hutang lebih RM25 juta yang sudah tertunggak lebih setahun.
Lebih 50 subkontraktor dan pembekal tempatan LRT3 pakej GS05 serta GS06 menyertai demonstrasi aman di Seksyen 1 Shah Alam hari ini bagi menuntut China Railway 17th Bureau Group (M) Sdn Bhd (CRCC17) melunaskan bayaran tertunggak itu.
Pengarah Urusan Izani Wawasan Enterprise Sdn Bhd Rozani Aziz berkata, sejak setahun lalu, subkontraktor dan pembekal yang menyiapkan pelbagai kerja mengikut bidang kepakaran masing-masing dalam dua pakej itu tidak menerima sebarang bayaran.
“Setiap bulan, kami dijanjikan berulang kali oleh pengarah projek CRCC17, bayaran akan dibuat,” katanya selepas menyertai demonstrasi aman itu.
“Tetapi janji itu tidak ditepati dan setiap kali kami memohon pihak CRCC17 menjelaskan bayaran tertunggak, ia masih tidak dibuat.”
Beliau berkata, banyak siri mesyuarat diadakan bersama pengurusan tertinggi CRCC17, malah wakil subkontraktor turut menghantar surat kepada pelbagai pihak yang berkaitan dengan projek LRT3, tetapi tiada subkontraktor yang menerima sebahagian mahupun bayaran penuh.
Katanya, subkontraktor dan pembekal tempatan semakin terdesak dan terpaksa mengadakan demonstrasi aman dengan harapan nasib mereka dan kira-kira 3,000 pekerja terbela.
Projek LRT3 sepanjang 37.8km, termasuk 2km di bawah tanah, bermula pada Ogos 2015 dan dijangka siap sepenuhnya pada 28 Feb 2024.
Projek itu merangkumi pembinaan 20 stesen di sepanjang laluan, dengan lima stesen utama dan 20,000 lot parkir di enam stesen. LRT3 dijangka mampu menampung 18,630 penumpang sejam bagi setiap laluan. – FMT
- BACA: POLIS CEDERA PARAH PAUT PADA KERETA SEJAUH 1 KM. HALANG DIRAMPAS PENGUTIP HUTANG
- BACA: LALUAN KERETA API SEJAUH 1,000KM DIBUKA. LAOS MUNGKIN DIJERAT HUTANG CHINA
- BACA: POS MALAYSIA TAMATKAN KONTRAK 100 PENGHANTAR BARANG. RAMAI MASIH TANGGUNG HUTANG BELI VAN
- BACA: CARA AHLONG UGUT PENGHUTANG DI SINGAPURA. HANTAR MAKANAN BERULANG KALI LEWAT MALAM



