Buletin

INSIDEN LRT: 47 CEDERA PARAH, 166 CEDERA RINGAN

Polis mengesahkan 47 penumpang cedera parah manakala 166 mengalami kecederaan ringan dalam insiden kemalangan membabitkan dua tren Transit Aliran Ringan (LRT) laluan Kelana Jaya.

Ketua Polis Daerah Dang Wangi Asisten Komisioner Mohamad Zainal Abdullah mengesahkan terdapat 213 penumpang di dalam tren yang bertembung di antara stesen Kampung Baru dan KLCC.

Menurutnya, penumpang yang cedera dihantar ke Hospital Kuala Lumpur dan beberapa hospital lain

“Tren yang dari Gombak dipandu secara automatik mengandungi 213 orang penumpang manakala tren dari Kampung Baru adalah tren kosong yang mempunyai pemandu.

“Kita dapati mungkin berlaku kegagalan komunikasi dan ini adalah kemalangan yang kami masih menyiasat jika ia adalah kecuaian kerana melibatkan kecederaan awam,” katanya pada sidang media sebentar tadi.

Sementara itu, Prasarana Malaysia Berhad dalam kenyataan mengesahkan kejadian itu yang membabitkan tren bernombor 40 dan 81.

“Pasukan kami sedang menguruskan bantuan dan kerja menyelamat sekarang. Sila bertenang dan patuhi segala arahan.

“Kami memohon maaf atas segala kebimbangan dan kerisauan. Pihak kami sedang berusaha secepat mungkin untuk memberi bantuan serta mengawal keadaan,” kata kenyataan itu. –HM/Awani

Google ads
Back to top button