Buletin

KELUARGA PENUMPANG LRT TUNTUT PAMPASAN RM1.8 JUTA DARIPADA PRASARANA

Keluarga salah seorang mangsa dalam insiden pelanggaran tren Transit Aliran Ringan (LRT) laluan Kelana Jaya mengemukakan Notis Tuntutan Undang-undang (Legal Notice Of Demand) terhadap Prasarana Malaysia Berhad (Prasarana) melibatkan pampasan dan ganti rugi berjumlah RM1.8 juta.

Notis tuntutan itu dikemukakan oleh keluarga mangsa, Wong Chee Foong, 52, menerusi firma guaman Tetuan Jazzmine Khoo & Associates.

Dalam satu kenyataan yang dikeluarkan, peguam Jazzmine Khoo ketika dihubungi berkata, tuntutan itu antaranya terdiri daripada kos perbelanjaan perubatan, kecederaan fizikal, tekanan mental dan emosi serta trauma dan kehilangan pendapatan.

Mangsa berkerja sebagai Chef Dapur di sebuah hotel di ibu negara itu kini mengalami kecederaan serius di bahagian kepala, muka dan tulang belakang akibat nahas itu sehingga terpaksa menjalani beberapa pembedahan dan rawatan lanjut. Dia juga dilaporkan masih belum sedar dan kini dirawat di unit rawatan rapi (ICU) Hospital Kuala Lumpur (HKL).

“Bapa kepada empat anak berusia antara tiga tahun hingga 15 tahun itu merupakan satu-satunya penyara nafkah keluarganya.

“Keluarga mangsa berharap agar pihak terlibat dapat menjawab surat tersebut dan mengemukakan cadangan penyelesaian yang lebih baik dan wajar dengan segera,” katanya.

Peguam keluarga Foong, Jazzmine Khoo memberitahu keluarga mangsa kecewa kerana sehingga kini tiada sebarang usaha dilakukan oleh Prasarana berhubung kos perubatan dan kerugian pendapatan serta bantuan RM1,000 seperti dijanjikan sebelum ini.

“Walaupun begitu, keluarga juga menyatakan bahawa RM1,000 tersebut bukanlah jumlah pampasan yang setimpal kerana apa yang dialami olej mangsa adalah lebih besar,” katanya.

Jazzmine juga menyatakan anak guamnya memberi Prasarana tempoh selama tujuh hari untuk membalas notis tuntutan berkenaan.   

Pada 24 Mei lalu, seramai 47 penumpang tren dilaporkan parah manakala 166 cedera ringan dalam insiden pada 8.45 malam melibatkan sebuah tren yang membawa penumpang dan sebuah tren rosak yang sedang dipandu uji.-K!ONLINE, Malaysiakini

Google ads
Back to top button