Artikel Pilihan

LUBANG ANGIN TOYOTA SUPRA INI BUKAN SUKA-SUKA

Toyota Supra dihasilkan daripada aspirasi rekaan kereta konsep Toyota FT-1 yang dipertontonkan semenjak tahun 2007 lagi. Rekaan asas Supra masih lagi memiliki cerminan ciri fizikal FT-HS yang garang, kemas dan bersih. Tapi ada beberapa rekaan yang menjengkelkan penulis sebenarnya. Terlalu banyak fake vents. Puffffsss.

Kita akan jumpa lubang angin palsu ini di bahagian bawah bukaan bampar depan, bahagian sisi bampar, bahagian atas hud enjin, bahagian sisi tepi pintu, bahagian belakang bampar. Sekiranya ada anugerah kereta yang paling banyak lubang angin palsu di dunia, Supra akan menggondol semua anugerah tersebut dengan mudah. Sap sap soi.

Bukak sahaja ruang enjin di depan dan anda akan jumpa beberapa benda yang kelihatan seperti aktiviti pemotongan kos yang dilakukan. Pada bahagian suspension tower dan bahagian depan cesi yang memegang radiator, terdapat satu lubang skru yang ditinggalkan dengan sengaja. Ish tak kan skru pun kedek nak bagi kan.

Di bahagian belakang pula tiada spoiler sport yang diberikan oleh Toyota. Yang ada hanyalah bahagian bonet belakang yang direka dengan sedikit berlekuk ala-ala ekor itik sama seperti Honda City milik penulis. Dah jadi kereta eksekutif, bukan kereta sport. Hmm ini masalah identiti sebenarnya.

Toyota Supra – direka untuk Tuner

4 perenggan di atas memang propaganda saja tuan-tuan. Sebanarnya apabila pengurusan Toyota di bawah seliaan Tetsuo Tada meluluskan projek Supra, antara perkara yang dipertimbangkan oleh mereka ialah mengembalikan semula tradisi dimana pembeli akan membeli Supra untuk dimodifikasi semaksima yang mungkin. Bukan untuk beli, simpan, lap-lap kasi kilat, panjat atas bumbung pastu jerit “luar biasa baikkkkk”

Bukan macam tue tuan. Apabila rekaan asas Toyota FT-1 ini siap, jurutera aerodinamik mendapati aliran udara yang masuk terlalu banyak sehinggakan ia akan menggangu prestasi optima kereta. Mereka terpaksa menutup semua lubang angin yang ada dengan penutup plastik sementara.

Jika Supra tersebut dimodifikasi untuk lebih kuasa, maka penutup plastik tadi boleh dibuka dengan senang. Tak payah tebuk lubang macam orang Malaysia buat dan rekaan Supra kekal elegan. Mari kita tengok apa yang boleh dilakukan oleh fake vents ini ketika modifikasi dilakukan

1. Lubang angin di bahagian bawah bampar – boleh dibuka sekiranya pemilik ingin memasang sistem intercooler yang lebih besar bagi tujuan penyejukan. Lebih banyak udara akan mengalir bagi menyejukkan komponen seperti turbo yang dinaiktaraf

2. Lubang angin di bahagian sisi bampar – boleh dibuka untuk meningkatkan downforce jika kuasa enjin bertambah. Ia juga boleh dibuka untuk menyejukkan cakera brek yang lebih besar

3. Lubang angin atas hud enjin – sama seperti lubang angin di bahagian sisi bampar depan, boleh dibuka untuk meningkatkan downforce

4. Lubang angin bampar belakang – boleh dibuka untuk meningkatkan downforce dan juga menyejukkan rotor brake pada bahagian belakang.

Supra 2020 datang dengan braces

5. Front Braces – boleh dipasang bagi mengukuhkan suspension tower dengan lubang skru yang sengaja ditinggalkan

6. Rear Spoiler Mount – dipasang pada bahagian belakang bagi membolehkan syarikat tuner memasang spoiler yang sehabis besar. Untung-untung boleh jemur belacan

7. Differential cooler – unit asal Supra tidak dipasang dengan penyejuk differential, namun Toyota meninggalkan ruang yang cukup bagi membolehkan komponen ini dipasang

Namun terdapat beberapa pertikaian berkait rapat dengan lubang angin ini. Ada yang mengatakan lubang angin ini jika dibuka akan mendedahkan panel badan aluminium terutama pada bahagian pintu. Mungkin di bahagian pintu tersebut kekal sebagai fake vent.

Pada bulan Februari 2020, Toyota telah memperkenalkan versi naiktaraf Toyota Supra dengan satu varian baru yang telah diperkenalkan. Varian 3000cc telah menerima peningkatan kuasa daripada 335 kuasa kuda kepada 382 kuasa kuda dan 499 Nm tork. Kuasa ini dicapai dengan beberapa perubahan serta tweak pada perisian ECU

Nisbah mampatan direndahkan dari 11:1 kepada 10.2:1 namun boost turbo dinaikkan manakala rekaan port ekzos 6-2-1 ditukar kepada 6-1 bagi memudahkan lagi aliran gas ekzos keluar. Hasilnya Supra ini mampu memecut dari 0-100km/j dalam masa 3.9 saat, kurang 0.02 saat berbanding model lama

Bagi meningkatkan ketegaran cesi, front braces pada bahagian depan enjin mulai dipasang siap-siap dari kilang. Hmm rasanya lepas ni keluar lagi versi terbaru Supra. Sebelum ini kami telah menyiarkan bagaimana seorang tuner, Papadakis berjaya menghasilkan 1000 kuasa kuda dari enjin asal

Google ads
Back to top button