Buletin

CASIS BESI DARI MORGAN INI SEJAK 1936, LEBIH 80 TAHUN BARU TAMAT PENGELUARAN

Morgan Motor Company adalah pengeluar kereta sport buatan tangan dari Britain dan pengasasnya, H.F.S Morgan menghasilkan kereta sendiri pada tahun 1909.

Syarikat ini terkenal dengan kenderaan beroda tiga dan dalam bentuk klasik. Selain itu, Morgan juga setia dengan casis besi untuk tempoh berpuluh tahun lamanya sehingga tahun 2020.

Casis tersebut dikeluarkan selama 84 tahun (kecuali semasa perang dunia kedua dan Covid-19) dan akhirnya ditamatkan pada minggu kedua Julai 2020.

Tempoh itu juga menjadikannya sebagai senibina kereta paling lama yang dikeluarkan di dunia.

Casis baru (aluminium) dan casis lama (besi)

Casis bentuk kerangka tangga (ladder chassis) diperkenalkan pada tahun 1936 untuk model Morgan 4-4. Walaupun popular dengan kenderaan roda tiga, Morgan 4-4 adalah model pertama dengan empat roda dan empat silinder.

Sejak ditubuhkan pada 1909, kesemua kenderaan Morgan adalah dari jenis roda tiga.

Casis besi tersebut telah menjalani pelbagai ubah suai dan penambahbaikan sepanjang usianya dan digunakan pada sejumlah model seperti Plus 4, Plus 4 Plus, generasi pertama Plus 8, 4 tempat duduk, V6 Roadster, dan pengganti 4-4’s iaitu the 4/4.

Bahkan kesemua kenderaan beroda empat Morgan yang dikeluarkan sebelum 2019 (kecuali model Aero dan generasi kedua Plus 8) menggunakan variasi casis besi tersebut.

Elemen popular pada reka bentuk casis itu ialah kombinasi tiang depan gelungsur (sliding pillar front) dan suspensi pegas daun (leaf spring) belakang. 

Tiang depan gelungsur tersebut adalah ciri utama casis besi Morgan dan hanya beberapa pengeluar menggunakannya. 

Kaedah itu menjadikan hub dan set roda (wheel assembly) bergerak secara menegak (vertical) pada cemat agung (kingpin) yang dipasang di bahagian atas dan bawah.

Hasilnya ialah tiada perubahan camber roda semasa mampatan (compression) atau lantunan (rebound) seterusnya memaksimumkan cengkaman lateral semasa selekoh.

Secara keseluruhannya sejumlah 35,000 unit kenderaan beroda empat Morgan dengan casis besi dikeluarkan dan dieksport ke 65 buah negara serata dunia. Banyak dari model tersebut masih digunakan secara aktif pada hari ini. 

Kereta terakhir dengan casis besi ialah Morgan Plus 4 70th Edition dan telah dibeli oleh pelanggan setia jenama itu. Beliau mempunyai koleksi kereta Morgan termasuk yang memenangi perlumbaan Le Mans iaitu Plus 4 dengan nombor pendaftaran TOK 258.

Menggantikan casis besi bersejarah itu ialah platform aluminium jenis lekatan (bonded) Generasi CX dan yang diperkenalkan pada model baharu Morgan Plus Six yang pertama kali dipertontonkan di Geneva pada Mac 2019.

Morgan Plus Six 2020

Platform tersebut adalah hasil pembangunan selepas empat tahun yang dipelajari dari platform aluminium sebelumnya yang digunakan pada barisan model Aero dan generasi kedua Plus 8.

Platform CX turut digunakan pada Morgan Plus Four baharu yang diperkenalkan pada Mac 2020.

Morgan Plus Four 2020

BACA: ‘KERETA TERBANG’ ADALAH REALITI – INI PENGANGKUTAN MASA DEPAN

BACA: HIMPUNAN KERETA LUMBA NISSAN DAN DATSUN KLASIK – MELELEH YOB!

BACA: MORRIS JE, BENTUK KLASIK MACAM BIASA NAMPAK KAN?

Google ads
Back to top button