
PENGECUALIAN CUKAI SST TAMAT 30 JUN. PEMBATALAN TEMPAHAN KERETA DIJANGKA MENINGKAT PADA JULAI
Pembatalan tempahan kenderaan dijangka meningkat pada Julai jika kerajaan tidak lagi meneruskan insentif pengecualian cukai jualan dan perkhidmatan (SST) yang bakal tamat akhir bulan ini.
Penganalisis AmInvestment Bank, Muhammad Afif Zulkaplly, berkata jangkaan itu berdasarkan situasi di mana pelanggan tidak dapat memanfaatkan insentif yang menyaksikan harga kereta yang lebih rendah.
Katanya, susulan barisan tempahan yang panjang dengan purata tempoh menunggu dua hingga tiga bulan, bakal pembeli yang membuat tempahan sejak dua bulan lalu berkemungkinan besar hanya akan menerima kenderaan selepas tempoh bebas cukai tamat.
“Kami jangkakan peningkatan pembatalan tempahan berlaku pada Julai tetapi kami percaya jumlah jualan industri akan pulih dengan cepat apabila permintaan mengatasi bekalan,” katanya dalam nota penyelidikan.
Muhammad Afif berkata, beberapa pengeluar dan pengedar telah memperkenalkan harga termasuk SST untuk tempahan yang lebih baru bagi mengurus jangkaan pelanggan.

“Namun begitu, walaupun selepas keluaran harga yang dikemas kini, firma kereta masih melihat kadar pesanan harian yang sihat yang menandakan permintaan kukuh untuk kenderaan penumpang baharu berkemungkinan kekal mampan selepas tempoh bebas cukai,” katanya.
Beliau berkata, AmInvestment Bank menjangkakan pendapatan sektor automotif berkembang 5.0 peratus dan perolehan sebanyak 10 peratus tahun ini, paras yang kembali sebelum pandemik bermula berikutan pemulihan ekonomi yang lebih meluas.
Katanya, pendapatan sektor automotif pada suku kedua 2022 dijangka menjadi tempoh suku ke suku dan tahun ke tahun lebih kukuh apabila pengeluar kenderaan mempercepatkan penghantaran menuju ke akhir tempoh pengecualian SST.
“Kami menyemak unjuran jumlah keseluruhan industri (TIV) 2022 kepada 590,000 unit daripada 555,000 unit berbanding 600,000 unit yang diunjurkan oleh Persatuan Automotif Malaysia (MAA), dengan pandangan bahawa permintaan kukuh untuk kenderaan penumpang baharu adalah mampan menjangkaui tempoh bebas cukai.
“Kami mengekalkan saranan OVERWEIGHT untuk sektor ini. Jualan industri dijangka pulih tahun ini apabila rantaian bekalan kembali normal dan keyakinan pengguna beransur pulih, disokong oleh peningkatan dalam aktiviti ekonomi.
“Lanjutan pengecualian SST akan menjadi risiko peningkatan utama kepada unjuran TIV dan pendapatan kami,” katanya.
Sementara itu, Presiden MAA, Datuk Aishah Ahmad, berkata ada kemungkinan sedikit pembatalan tempahan berlaku jika pengecualian cukai tidak lagi dilanjutkan.
Malah, wujud juga kemungkinan harga kenderaan akan terus meningkat ekoran peningkatan kos logistik, penghantaran dan isu kekurangan cip komputer yang masih berlaku ketika ini.
“Ahli MAA sudah lama beroperasi dan telah melalui banyak perubahan dasar automotif, jadi kami perlu bersedia untuk berdepan pembatalan tempahan dan kenaikan harga kenderaan.
“Buat masa ini, kami masih menunggu keputusan Kementerian Kewangan (MOF) sama ada pengecualian cukai akan dilanjutkan atau sebaliknya. Kami juga menjangkakan jualan kenderaan akan kembali pulih selepas tiga bulan SST dikembalikan,” katanya. – Berita Harian









