Modifikasi

RED SUNS FC3S: LAGENDA RAJA ROTARY

Siapa yang tidak kenal Mazda RX7, satu-satunya kereta produksi penuh di dunia yang menggunakan enjin jenis Wankel rotary yang cukup unik. Enjin rotary secara asasnya ialah sebuah enjin yang sangat mudah untuk dipertingkatkan dan diselenggara. 

Enjin itu tidak memerlukan injap, aci sesondol, spring injap mahupun kepala silinder. Ia hanya memerlukan sepasang rotor berbentuk segi tiga, sebatang shaft serta  lubang port untuk kemasukan udara dan bahan api, cukup mudah.

Selain daripada enjinnya yang unik, RX7 juga dikenali kerana reka bentuk badannya yang sporty. Model FC3S ialah model RX7 generasi kedua yang mula diperkenalkan pada pertengahan tahun 1980-an. Ia merupakan model pertama menggunakan enjin 13B rotor berkembar yang menggantikan enjin 12A rotor tunggal yang digunakan pada RX7 model pertama.

BACA – SKYACTIV TEKNOLOGI ABAD BARU

BACA – RX7 TOO FAST TOO FURIOUS

Oh ya! Tidak lupa juga enjin 13B baru itu menggunakan pengecas turbo bagi meningkatkan prestasi enjin. Di samping meningkatkan daya kilas (kuasa tork) enjinnya. Harus tahu bahawa daya kilas yang rendah adalah satu kelemahan enjin rotary.

Apabila tuan punya RX7 putih ini menghubungi untuk sesi fotografi, kami tidak berlengah untuk membuat temu janji dengannya. Sebabnya, kalau tidak silap memang sudah agak lama model RX7 seperti ini dirakam gambarnya. Model FD3S agak banyak, tetapi model FC kurang sikit kerana ia memang tidak banyak wujud di Malaysia.

RX7 ini seperti biasa mengekalkan enjin 13B rotary, tetapi sudah pasti melalui proses ubah suai sepenuhnya. Blok enjinnya telah menjalani proses kerja porting dan apex seal dua milimeter (mm) dipasang bagi menyediakan enjin untuk menerima boost yang tinggi.

garaj - RX7 7

Turbo berkembar standard enjin dipertingkat kepada sebuah turbo Garret T04 tunggal yang diadaptasi kepada enjin menggunakan sebuah manifold ekzos buatan custom. Intercooler top mount asal juga tidak digunakan lagi. Sementara sebuah intercooler Trust jenis front mount menggantikannya. Paip intercooler custom dengan getah silikon SARD melingkar di dalam ruang enjin yang kelihatan kosong.

Untuk menghantar bahan api ke kebuk pembakaran, satu unit pam bahan api Walbro digunakan. Malah semua alat suntikan bahan api asal telah diganti dengan alat pancitan bersesaran 800cc baru. Paling menarik, jentera ini ditala menggunakan beberapa peralatan elektronik old skool yang masih berfungsi dengan baik.

Campuran udara dan bahan api dikawal oleh GReddy Rebic II. Sementara boost ditala oleh GReddy Profec-B boost controller jenis elektronik. Radiator enjin turut dipertingkat menerusi radiator jenis aluminum yang bertanggungjawab mengawal suhu enjin dengan lebih baik.

garaj - RX7

Enjin itu walaupun nampak senang sahaja hendak dinaik taraf, perlu tahu juga bahawa  senang-senang sahaja kuasa boleh naik lebih 300bhp. Untuk perbandingan, Ferarri 328 GTB yang sezaman dengannya hanya boleh menjana kuasa maksimum 270bhp, walaupun dengan enjin V8 3,200cc. Jadi, tidak hairanlah jika kereta itu sejak dahulu lagi sudah mampu bersaing dengan Ferrari dan Porsche di litar lumba antarabangsa

Dari segi bunyi ekzos, bunyi enjin rotary sememangnya amat unik. Bagi peminat kereta, bunyi ekzos daripada enjin itu sebenarnya berada di kedudukan lima teratas (Top 5) bunyi ekzos paling sedap didengar di dunia. RX7 menggunakan sistem ekzos custom jenis saluran paip terus berdiameter tiga inci yang diakhiri dengan sebuah peredam bunyi jenis HKS.

Segala kuasa yang dilepaskan oleh enjin disalurkan ke jalan raya melalui kotak gear lima kelajuan manual standard yang diperkuat dengan klac separa perlumbaan Mazdaspeed. RX7 ini didatangkan dengan gandar belakang LSD standard dari kilang yang mengalirkan kuasa dengan sekata kepada kedua-dua roda di belakang.

 

Pengendalian jentera Mazda ini dipertingkat sepenuhnya menggunakan penyerap hentak boleh laras Tein. Rim 15 inci asal diganti dengan rim spec JDM 18 inci yang disalut dengan tayar Falken bersaiz 215/35/18. Brek standard RX7 pun sudah dilorek untuk dijadikan cakera berliang dengan groove bagi mambantu memantapkan lagi kuasa membrek.

rx7 fc

Dari segi kosmetik, RX7 dihias oleh kit badan RE Amemiya. Antara ciri  utamanya ialah lampu jeni pop-up asal diganti dengan lampu projector jenis fixed. Selain liang udara khas untuk menyalur udara kepada penapis udara enjin. Bagi jentera ini, sebuah penapis udara daripada HKS Super Power Flow digunakan.

Bagi  menambah kegarangan kereta, sebuah GT wing custom gentian karbon mengisi ruang di bonet belakang. Lampu belakang juga telah diganti dengan lampu daripada  model facelift RX7 FC.

Bahagian dalamannya dipenuhi dengan meter-meter tambahan jenis old skool. Meter buatan GReddy, HKS dan Auto Meter yang dipasang pada papan pemuka kereta itu mengingatkan saya pada zaman Saturday Night Fever di litar Batu Tiga, Shah Alam yang sebenarnya cukup kena dengan imej kereta klasik moden ini.

Satu-satunya benda yang saya tidak suka ialah stereng yang digunakannya. Tidak tahu nak cakap apa. Macam stereng Knight Rider pun ada. Tetapi yang lain-lain, memang okay dan sesuai dengan kereta ini.
Spesifikasi Mazda RX7

Pembuat / Model:Mazda RX7 FC3S

Ubah suai enjin: 13B rotary, blok ported, apex seal 2mm, Garret T04 turbo, Trust intercooler, alat suntikan 800cc, pam bahan api Walbro, radiator aluminum, penapis udara HKS

Sistem Ekzos: Custom 3” dengan peredam bunyi HKS

Sistem ECU: Standard dengan pengawal bahan api GReddy Rebic II dan pengawal boost GReddy Profec B

Kotak Gear: Standard manual dengan klac Mazdaspeed

Suspensi: Penyerap hentak boleh laras Tein

Brek: Standard FC3S

Luaran: Bodykit lengkap RE Amemiya, GT wing custom

Dalaman: Standard FC3S, meter-meter tambahan GReddy, HKS dan Auto Meter

Google ads

admin

mekanika.com.my / permotoran gaya baru untuk generasi baru.
Back to top button