
MAHU MOTOSIKAL ADVENTURE? TRIUMPH ADA 6 PILIHAN TIGER 800 2018 UNTUK ANDA – BERMULA RM56,900
Selain model moden klasik Bonneville Bobber Black dan Speedmaster, Fast Bikes turut memperkenalkan model pentingnya, Triumph Tiger 800.
Model adventure itu didatangkan dalam enam varian iaitu Tiger 800 XR, XRx, XRx Low, XRT, XCx dan XCa untuk memenuhi apa jua kecenderungan tunggangan anda.
Secara ringkasnya, Tiger 800 XCx sesuai untuk mereka yang gemarkan aktiviti lasak dan laluan off road. Sementara Tiger 800 XRx pule lebih kepada penggunaan di atas jalan raya biasa.
Harga Tiger 800 adalah seperti berikut:
Model |
Harga |
Triumph Tiger 800 XR |
RM56,900* |
Triumph Tiger 800 XRx/XRx Low |
RM69,900 |
Triumph Tiger 800 XRT |
RM77,900 |
Triumph Tiger 800 XCx |
RM74,900 |
Triumph Tiger 800 XCa |
RM81,900 |
Jentera adventure generasi baharu itu menampilkan lebih 200 penambahbaikan pada casis dan enjin. Enjin 800cc tiga silinder itu kini lebih responsif dengan output kuasa puncak 95PS.
Gearnya turut diperbaharui dengan nisbah gear satu lebih pendek untuk memberikan cengkaman di laluan off-road yang lebih baik. Karekter enjin itu menjanjikan pengendalian lebih mudah pada kelajuan rendah dan pecutan mengujakan.
Kedua-dua varian XCx dan XRx tampil dengan enam mode tunggangan, termasuklah mode “Off Road Pro” yang baru. Keseronokan menunggang dipertingkatkan dengan peredam lebih ringan bersama bunyi ekzos yang lebih sedap didengar.
Tiger 800 didatangkan dengan kompaun pelana baharu dengan dua pilihan ketinggian. Pelana model XRX (810-830mm) dan XCX (840-860mm) boleh dilaras sehingga 20mm bagi disesuaikan dengan gaya tunggangan dan laluan penunggang.
Mereka yang memiliki ketinggian standard Asean boleh memilih varian XRx (760mm). Ini kerana pelananya 50mm lebih rendah berbanding barisan standard XRX.
Berbanding model terdahulu Tiger kini tampil dengan rekaan dan kemasan lebih berkualiti tinggi. Kelihatan lebih kontemporari, ia juga hadir dengan beberapa warna baharu.
Sama seperti kebanyakan model moden Triumph, Tiger didatangkan dengan meter instrument TFT warna penuh bersaiz lima inci yang boleh diubah suai mengikut kecenderungan penunggang. Cermin penghadang angin juga boleh dilaras dengan lima kedudukan untuk tunggangan yang selesa.
Tidak berkompromi dengan aspek keselamatan, Tiger dipasang dengan sistem brek ABS Brembo kawalan cengkaman, pendikit ‘ride-by-wire’, kawalan jelajah, pelana dengan ciri pemanas dan grip (sesetengah model) dan soket kuasa sebagai ciri standard.
“Triumph Tiger 800 XCx dan XRx kini merupakan antara motosikal kembara yang paling berjaya dalam segmen masing-masing. Kedua-dua motosikal ini mudah ditunggang, selain menawarkan kawalan dan keselesaan yang mengagumkan,” kata Ketua Pegawai Eksekutif Fast Bikes Sdn Bhd., Dato’ Razak al-Malique.
Maklumat lanjut mengenai model-model baharu Triumph, sila layari laman web: www.triumphmotorcycles.my
GALERI