
MAHUKAN KERETA YANG SESUAI DENGAN GAYA HIDUP TAUKE MUSANG KING? HONGQI GUOLI ADA JAWAPANNYA
Hongqi Guoli muncul dengan penuh gah di Shanghai Auto 2025, ditawarkan pada harga 7.18 juta yuan (sekitar RM4.7 juta).
Ia tergolong dalam barisan eksklusif jenama Hongqi yang dikenali sebagai “Golden Sunflower” — siri model paling mewah dan prestij keluaran pembuat kereta ikonik China ini.
Menariknya, L5 bukan lagi model terunggul dalam barisan tersebut. Peranan itu kini diambil alih oleh Hongqi Guoli, yang merupakan pengganti rasmi kepada L5.

Bersama Guoli (国礼), terdapat tiga lagi model yang membentuk barisan Golden Sunflower: Guoyao (国耀), Guoya (国雅), dan Guoyue (国悦), masing-masing mewakili gabungan estetika tradisional serta kemewahan kontemporari.
Dari segi rekaan luaran, kesemua model Golden Sunflower mengekalkan identiti tersendiri dengan gril besar gaya ‘vertical waterfall’ yang ikonik, serta lampu utama bulat retro.
Menurut Hongqi, rekaan ini diinspirasikan daripada falsafah budaya Cina kuno: “langit itu bulat, bumi itu empat segi.” Bonet hadapan yang panjang melengkapkan siluet elegan kenderaan ini.

Logo Hongqi yang terletak di tengah gril boleh ditarik masuk secara automatik, dan unit lampunya diperbuat daripada material menyerupai kristal bagi menambah sentuhan eksklusif.
Satu perincian yang unik adalah kecondongan logo ke hadapan pada sudut 23.5 darjah, melambangkan sudut condongan paksi Bumi.
Sebagai sedan bersaiz penuh, Hongqi Guoli mempunyai dimensi yang mengagumkan: 5,980mm panjang, 2,090mm lebar, 1,710mm tinggi, dan jarak antara roda 3,730mm.

Berat tanpa muatan ialah 3150 kg. Berbanding model L5 Zhizun keluaran 2014, Guoli lebih panjang sebanyak 425mm dan jarak rodanya juga bertambah sebanyak 295mm.
Dari segi prestasi, Guoli dijana oleh enjin 4.0L V8 turbo yang menghasilkan kuasa maksimum 388hp dan tork puncak 530Nm, digandingkan dengan transmisi automatik 8 kelajuan (8AT).
Penggunaan bahan api purata adalah 15.2L/100km, dan kelajuan maksimum dicatatkan pada 220km/j.

Masuk ke ruang dalaman, suasananya sarat dengan kemewahan, termasuk balutan kulit menyeluruh serta elemen-elemen rekaan Hongqi yang eksklusif termasuk logo bunga matahari emas pada stereng, tombol gear, serta perehat tangan.
Selain itu, Guoli turut dilengkapi stereng pelbagai fungsi berkembar dan paparan dwi-skrin — satu sebagai panel instrumen dan satu lagi untuk kawalan tengah. Di bawahnya terdapat satu unit meter tambahan yang berkemungkinan berfungsi untuk kawalan suhu.
Konsol tengah kelihatan agak padat dengan kehadiran pelbagai butang fizikal dan tombol kawalan, menambah suasana klasik dalam kemodenan.

Susun atur tempat duduk 2+2 melengkapkan kemewahan kabin — barisan kedua menempatkan dua tempat duduk individu dengan perehat tangan di tengah yang menyokong pelarasan elektrik, sokongan kaki, fungsi ventilasi, pemanas, dan urutan.
Tambahan, panel kawalan juga tersedia di perehat tangan tersebut, menekankan fokus kepada keselesaan penumpang.
Secara keseluruhannya, Hongqi Guoli bukan sekadar pengganti L5 — ia adalah lambang baharu kepada kemewahan automotif China, memadukan warisan dengan inovasi dalam satu pakej yang sukar ditandingi.
- BACA: LEAPMOTOR LANCAR SEDAN B01, 650KM SEKALI CAJ
- BACA: LEVC L380: MPV ELEKTRIK DENGAN JARAK GERAK 819KM MUNCUL DI AUTO SHANGHAI 2025
- BACA: GEELY PAMER STARSHINE 8 PHEV DI AUTO SHANGHAI 2025 – SEDAN HIBRID MAMPU MILIK DENGAN GAYA PREMIUM
- BACA: INI ADALAH YANG MENARIK TENTANG GEELY GALAXY STARSHIP 7 EM-I 2025