Buletin

MATSUOKA KOMITED KUKUHKAN KEDUDUKAN ISUZU

Ketua Pegawai Eksekutif Isuzu Malaysia Sdn. Bhd. (IMSB) yang baru, Kenji Matsuoka berhasrat untuk memanfaatkan populariti sedia ada kenderaan Isuzu bagi memantapkan posisi jenama tersebut dalam pasaran trak pikap dan trak komersial.

CEO-Isuzu-Malaysia-Matsuoka-mekanika

Selain meletakkan sasaran untuk mengekalkan posisi syarikat sebagai jenama trak No. 1 di Malaysia, Matsuoka juga berharap untuk menguasai 20 peratus pasaran  trak pikap Isuzu D-MAX dalam jangka masa sederhana.

Matsuoka mengakui bahawa ciri-ciri utama produk bertanggungjawab menaikkan nilai kenderaan Isuzu dan menjadi sebab utama mengapa pelanggan beralih kepada jenama ini.  Beliau merasakan sentimen pelanggan sekarang yang begitu berhati-hati ketika berbelanja turut memberi kelebihan kepada Isuzu.

Isuzu-D-Max-Diablo-mekanika (7)

Selari dengan populariti kenderaan Isuzu yang kian meningkat, Matsuoka mengakui inisiatif kepuasan pelanggan perlu seiring dengan peningkatan ini.

“Tanpa sokongan yang kukuh daripada para pelanggan, kami tidak mampu mengekalkan pertumbuhan jenama yang konsisten. Jadi, kami akan memberi perhatian yang lebih khusus untuk menambah baik kualiti perkhidmatan selepas jualan dengan mengukuhkan operasi para pengedar dan meningkatkan aspek  kemudahan alat-alat ganti menerusi pembinaan sebuah depot alat ganti yang baru di Johor,” tambah Matsuoka.

Isuzu-MU-X-mekanika

Matsuoka juga memberitahu, syarikat akan terus mengembangkan rangkaian produknya dengan menambah varian kenderaan Isuzu demi memenuhi keinginan dan keperluan spesifik pelanggan. Antaranya dengan memperkenalkan model Isuzu MU-X, sebuah kenderaan berkapasiti tujuh tempat duduk yang akan tampil di pasaran tempatan tidak lama lagi.

Matsuoka yang merupakan graduan bidang kejuruteraan daripada Universiti Mie akan memulakan tanggungjawabnya pada 20 April 2015. Beliau menggantikan Kimitoshi Kurokawa yang akan kembali bertugas di Isuzu Motors Limited Jepun untuk memantau rangkaian pasaran yang luas termasuklah Komanwel Negara-negara Merdeka (CIS), Asia Barat, Amerika Latin, Afrika dan Asia Tenggara.

Sebelum menyertai Isuzu Malaysia, Matsuoka pernah memegang jawatan sebagai Ketua Pegawai Eksekutif Isuzu-Hicom Malaysia (IHM) sejak tahun 2012 selepas menjadi Ketua Pegawai Eksekutif Isuzu Vietnam Co Ltd.

Google ads

admin

mekanika.com.my / permotoran gaya baru untuk generasi baru.
Back to top button