Pandu Uji

PEUGEOT 308 THP – RM132,888

Sejak mengambil hak pengedaran kenderaan Peugeot di Malaysia pada tahun 2008, Nasim Sdn. Bhd. (Nasim) dilihat berjaya menaikkan kembali jenama dari Perancis itu ke tahap yang sewajarnya.

SONY DSC

Dengan sokongan selepas jualan yang semakin kukuh, orang ramai tidak lagi teragak-teragak untuk memasukkan Peugeot dalam senarai pembelian kereta baharu mereka. Apatah lagi, Nasim kini menawarkan rangkaian penuh model Peugeot kepada pengguna tempatan.

Kejayaan tersebut sebenarnya banyak disumbangkan oleh model 308. Mula diperkenalkan pada tahun 2009, lebih 6,500 unit hatchback segmen C itu telah berjaya dijual.

SONY DSC

Malam semalam, keterujaan terhadap 308 kembali dihangatkan apabila Nasim memperkenalkan model 308 serba baharu. Model itu sememangnya menerima penambahbaikan yang sangat signifikan berbanding 308 terdahulu. Kehebatan 308 THP juga terserlah apabila ia dinobatkan sebagai penerima anugerah kereta terbaik Eropah pada tahun lalu di Geneva Auto Show 2014.

Penampilan luaran nyata lebih  kemas dan elegan. Perkadarannya juga nampak lebih sempurna dan tiada lagi rekaan bulat di bahagian belakangnya. Lampu utama dengan teknologi LED sepenuhnya memang mengubah wajah 308 THP untuk kelihatan lebih garang dan maskulin. Rupanya itu kemudian disempurnakan lagi dengan penggunaan rim aloi ‘Sapphire’ bersaiz 18 inci.

Peugeot-308-THP-mekanika (1)

Kuasa jentera itu diekstrak daripada unit enjin turbo bertekanan tinggi (THP) bersesaran 1.6 liter. Biarpun kecil, ia mampu menghasilkan kuasa sehingga 152PS dan tork 240Nm. Tahap penjimatan bahan api juga bagus, hanya 6.5L untuk setiap 100 kilometer.

Tujahan kuasa tersebut disalurkan ke roda hadapan menerusi kotak gear enam kelajuan buatan Aisin yang lengkap dengan teknologi Quickshift. Transmisi itu menjanjikan penukaran gear yang pantas dan lancar.

Peugeot-308-THP-mekanika (13)

Serius dengan tahap kualitinya, 308 THP telah menjalani pelbagai bentuk ujian. Antaranya  termasuklah pemanduan sejauh 2.5 juta kilometer, ujian getaran dan cuaca selama 2,500 jam, ujian pendingin hawa sebanyak 250,000 kitaran serta ujian tekanan 4.3 juta kali ke atas skrin sentuhnya.

Bagaimana dengan bahagian kabin? Anda pasti berpuas hati dengan reka letak dan material yang digunakan.

Peugeot-308-THP-mekanika (15)

Berpaksikan kepada falsafah i-Cockpit, rekaan dalaman 308 THP memang minimalis. i-Cockpit sebenarnya terdiri daripada empat komponen yang diintegrasikan bersama. Pertamanya ialah  stereng yang sporty (saiznya sedikit kecil berbanding mana-mana kereta lain), panel instrumen berbentuk simetrikal, konsol tengah yang tinggi dan skrin sentuh multi fungsi HD bersaiz 9.7 inci.

Dengan adanya skrin sentuh tersebut, ruang kabin tidak memerlukan banyak butang kawalan. Ini  kerana operasi kenderaan seperti tetapan pemanduan, sistem audio, pendingin hawa dan macam-macam lagi boleh dilakukan dengan hanya menyentuh skrin tersebut.

SONY DSC

Kualiti pemanduan 308 THP yang mantap banyak disumbangkan oleh platform termaju EMP 2 yang 140 kilogram lebih ringan dan kukuh berbanding platform sebelum ini. Bukan itu sahaja, hatchback tersebut juga dipasang dengan pelbagai sistem bantuan pemandu iaitu Driver Assistance Pack. Ia terdiri daripada sistem Dynamic Cruise Control, Emergency Collision Alert dan Emergency Collision Braking.

Tidak pernah berkompromi dari segi keselamatan, 308 THP sudah pun menerima penarafan lima bintang daripada Euro NCAP. Jentera ini juga dilengkapi enam beg udara, sistem brek ABS, EBA, EBD dan banyak lagi.

Peugeot-308-THP-mekanika (12)

Berbekalkan semua kelebihan ini, Nasim mensasarkan untuk menjual 100 hingga 120 unit  308 THP sebulan. Sasaran itu nampaknya tidaklah sukar untuk dicapai memandangkan sebelum pelancaran lagi, 100 unit 308 THP sudah ditempah.

Peugeot-308-THP-mekanika (4)

308 THP ditawarkan dalam satu varian sahaja dan boleh anda miliki pada harga RM132,888 seunit (di atas jalan termasuk insurans). Pelanggan boleh memilih antara lima warna menarik iaitu merah, coklat, kelabu dan hitam. Bagaimanapun, untuk mendapatkan warna putih anda perlu menambah RM1,590 lagi. 

Google ads

admin

mekanika.com.my / permotoran gaya baru untuk generasi baru.
Back to top button