Artikel Pilihan

MAZDA 3 2019 SKOR 5 BINTANG EURO NCAP

Agensi Keselamatan Euro NCAP telah mengeluarkan keputusan ujian keselamatan dan kemalangan yang melibatkan model terbaru Mazda 3 2019 BP yang mula dijual di pasaran luar termasuk Australia, Kesatuan Eropah dan juga Jepun. Ujian pada kali ini melibatkan prosedur keselamatan yang telah diperketatkan dan dikemaskini pada tahun 2018.

Ujian ini melibatkan perlindungan penumpang dewasa, perlindungan penumpang kanak-kanak bersama – sama dengan kerusi keselamatan, ujian perlindungan terhadap pengguna jalan raya seperti pejalan kaki dan penunggang basikal dan peralatan yang dipasang pada Mazda 3 2019 bagi mengelak atau mengurangkan impak kemalangan. Ujian ini juga melibatkan situasi kemalangan dari arah depan, sisi, situasi terbabas dan impak ke bahagian sisi, ujian perlanggaran belakang, dan ujian rempuhan pejalan kaki.

Secara keseluruhan Mazda 3 2019 berjaya memperoleh skor 5 bintang dengan markah pematuhan 98% untuk perlindungan penumpang dewasa, 87% untuk perlindungan penumpang kanak-kanak, 81% perlindungan pejalan kaki dan 73% untuk bantuan teknologi mengelakkan kemalangan. Bagi ujian bantuan teknologi mengelakkan kemalangan, sistem Brek Automatik Kecemasan bertindak dengan cemerlang bagi mengesan pejalan kaki dan penunggang basikal pada waktu siang, namun gagal bertindak dengan cepat dalam keadaan gelap seperti waktu malam.

Antara peralatan keselamatan yang dilengkapkan pada model ujian ialah beg keselamatan udara (2 hadapan, beg udara sisi, beg udara tirai sisi dan juga beg udara perlindungan lutut), sistem pemasangan ISOFIX tempat duduk belakang, sistem peringatan amaran pemasangan tali pinggang keledar semua penumpang, Sistem Brek Automatik Kecemasan yang boleh mengesan pejalan kaki, penunggang basikal dan berupaya membrek sehingga kelajuan 75km/jam, Sistem Bantuan Kelajuan yang akan memberi amaran sekiranya pemandu melebihi had laju dan Sistem Bantuan Penetapan Lorong yang akan memberi amaran jika pemandu bertukar lorong dengan tidak sengaja.

Mazda 3 generasi terbaru dengan kod nama BP ini bakal ditawarkan dengan 2 pilihan cesi samaada sedan ataupun “hatchback”. Ia akan menggunakan konfigurasi FF iaitu pemasangan enjin pada cesi hadapan dan pacuan hadapan dan dipadankan dengan 2 pilihan kotak gear. Kotak gear manual 6 kelajuan dan juga automatik 6 kelajuan adalah kotak gear yang dibangunkan sendiri oleh Mazda. Suspensi hadapan menggunakan topang McPherson manakala pada bahagian belakang pilihan jurutera Mazda ialah Torsion Beam (penulis menggaru kepala sambil menaip).

Mazda kali ini menampilkan beberapa pilihan enjin dari teknologi SkyActivG, SkyActivX dan juga SkyActivD. Enjin SkyActivG hadir dengan 3 pilihan iaitu 1500cc dengan 114 kuasa kuda, 2000cc dengan 155 kuasa kuda dan 2500cc dengan 184 kuasa kuda. Enjin 2500cc ini ditawarkan bersama sam dengan pendesak turbo yang menawarkan sehingga 250 kuasa kuda bagi pasaran luar negara.

Bagi varian SkyActivX, masih lagi menjadi misteri samaada akan digunakan di pasaran Malaysia ataupun tidak. Namun dari beberapa sumber di laman sesawang, kuasa yang dihasilkan ialah sekitar 178 kuasa kuda dengan nisbah mampatan mencecah 16:1. Enjin 1800cc SkyActivD juga masih menjadi tanda tanya samaada akan sampai ke pasaran Malaysia ataupun tidak. Enjin baru turbodiesel ini menghasilkan sebanyak 114 kuasa kuda dan menggunakan 1 liter petrol bagi setiap 19.2km.

Kami sertakan sekali anggaran harga yang mungkin ditawarkan bagi pasaran Malaysia iaitu 2 pilihan enjin dan 2 pilihan rekabentuk. Varian termurah hadir dengan enjin 1500cc dengan pilihan sedan ataupun hatchback, varian pertengahan datang dengan pilihan sedan dan enjin 2000cc dan varian tertinggi hadir dengan enjin 2000cc dalam bentuk sedan juga hatchback. Ia menjadikan 5 pilihan yang bakal ditawarkan kepada pengguna.

Kami ingin mendengar pendapat anda berkenaan berita ini di ruangan komen.

Google ads
Back to top button