Artikel Pilihan

MAZDA 787B, KEMENANGAN PERTAMA JENTERA JEPUN DENGAN ENJIN ROTARI

Dalam banyak-banyak pengeluar kereta di Jepun, hanya Mazda berani tampil dengan kelainan dalam penggunaan teknologi enjin. Mereka tampil dengan penggunaan enjin rotary yang dicipta oleh Felix Wankel dan tidak pernah berpaling ke belakang lagi. Mulai tahun 1974, mereka mula berlumba dengan jentera yang dikuasai oleh enjin rotari bagi membuktikan ketahanan enjin mereka

1. Sejarah Mazda dengan perlumbaan Le Mans bermula semenjak tahun 1970an lagi sebagai pembekal enjin pada kumpulan pelumba dari Belgium dengan enjin 10A dan juga Mazda Auto Tokyo pada tahun 1974 dengan enjin 12A.

2. Walaupun gagal menempah sebarang kejayaan, Mazda Auto Tokyo kemudian mencuba lagi pada tahun 1979 dengan jentera Savanna RX-7 dengan enjin 13B namun masalah teknikal yang dihadapi oleh pasukan menyebabkan mereka gagal untuk bertanding. Putus asa? Tak sebab bermula tahun 1981 mereka masuk setiap tahun untuk mencuba

3. Pada tahun 1983 Mazda Auto Tokyo Motorsport Division dijenamakan sebagai Mazdaspeed, sebagai pasukan rasmi di bawah naungan Mazda. Pada tahun ini model 717c diperkenalkan namun kuasa enjin yang rendah menjadikannya kurang popular. Bagi menambah laju, jurutera menjadikan jentera ini dengan pekali geseran serendah 0.277 bagi mencapai halaju tinggi dengan mudah

4. Model 717 ini dinaiktaraf menjadi model 727C pada tahun 1984 dan menjadi model 757 yang digunakan pada tahun 1986 dan 1987. Semua jentera ini menggunakan enjin 13G tiga rotor bagi versi perlumbaan manakala bagi versi jalanan ia dikenali dengan nama 20B. Pencapaian terbaik model 757 ialah tempat ke 7 dalam perlumbaan Le Mans

5. Pada tahun 1988, didorong dengan pencapaian pada tahun lepas Mazdaspeed melancarkan jentera 767 dengan enjin 13J 4 rotor yang menghasilkan 600 kuasa kuda. Tapi pencapaian terbaik model ini ialah pada kedudukan 17 dan 19 pada musim 1988. Model 767B yang dinaiktaraf pula mendapat kedudukan 7 dan 9 pada perlumbaan musim 1989.

6. Pada tahun 1990, Mazdaspeed menghasilkan rekaan baru yang diberi kod 787 bagi perlumbaan kumpulan C Le Mans berdasarkan garis panduan World Sportscar Championship, All Japan Sports Prototype Championship, dan 24 Hours Le Mans. Satu rekaan dengan 3 piawaian perlumbaan.

Rekaan 787 diketuai oleh Nigel Straud dengan menggunakan semula rekaan 767B yang tahan lasak, cesi yang menggunakan Kevlar dan gentian karbon, rekaan suspensi double wishbone, namun dipadankan dengan enjin baru R26B 4 motor Normal Aspirated dan transmisi 5 kelajuan manual.

7. Walaupun hampir sama dengan enjin 13J, enjin baru R26B menggunakan variable length intake yang boleh laras, 3 spark plug berbanding 2 sebelum ini bagi setiap rotor, apex seal yang dihasilkan dari gentian karbon untuk ketahanan. Enjin 2600cc ini menghasilkan 700 kuasa kuda pada 9000 RPM

Tapi untuk ketahanan dalam perlumbaan 24 jam, kuasa enjin diturunkan pada 700 kuasa kuda sahaja. Radiator pula diubah dari bahagian sisi ke bahagian depan dengan udara datang dari bahagian depan, melalui radiator dan keluar melalui cermin depan. Corong udara di tepi cesi digunakan untuk penyejukan sistem brek dan enjin

8. Cesi 787 dihasilkan oleh syarikat Advanced Composite Technology di UK dan dihantar ke Hiroshima untuk dipasang. Jacky Ickx dilantik sebagai penasihat pasukan untuk persedian perlumbaan dengan 3 jentera iaitu 2 unit 787 dan satu unit 767B. Namun jentera 787 gagal menghabiskan perlumbaan pada tahun 1990 disebabkan isu over heat

Bayangkan dah berapa kali gagal, tapi Mazdaspeed memang berhati kental. Sebaik sahaja pulang ke HQ, mereka memulakan pembangunan model baru iaitu 787B dengan mengurangkan berat jentera dari 1000kg kepada 830kg sahaja atas nasihat Jacky

9. Sistem variable intake manifold diubah menjadi continous variable dan enjin R26B mampu menjana sehingga 608Nm tork. Sistem geometri suspensi diubah agar tayar yang lebih besar boleh dimasukkan dan sistem brek seramik digunakan bagi menggantikan brek biasa

10. Bagi Le Mans musim 1991, Mazdaspeed manghantar 2 unit 787B dan satu unit 787 bersama dengan 9 pemandu. Namun penganjur menetapkan bahawa pada musim 1991 jentera 3500cc diberi keutamaan untuk berada di depan, manakala jentera lain yang menggunakan enjin kurang 3500cc mesti berada di belakang.

Tapi ini bukan masalah bagi Mazda kerana enjin R26B yang digunakan adalah enjin yang sangat stabil dan lasak berbanding dengan pasukan lain yang bergelut dengan pelbagai masalah bersama enjin baru 3500cc. Mazda memulakan perlumbaan pada kedudukan nombor 19, 23 dan 30 disebabkan isu di atas

11. Pengurus pasukan Ohashi mengambil risiko mengarahkan jentera 787B dengan nombor 55 untuk memecut habis-habisan selepas mendapati enjin R26B yang diuji sebelum ini sangat tahan lasak dan menggunakan petrol yang sangat minima. Jadi dengan memecut laju di awal perlumbaan, ia masih boleh memintas jentera lain dengan mengurangkan masa berhenti untuk mengisi bahan api.

Hasilnya jentera 787B bernombor 55 berjaya meraih kedudukan ke 3 dari kedudukan 19 sepanjang perlumbaan dan sebuah lagi 787B berada 2 pusingan di belakang. Berada di kedudukan 1-2 ialah 2 unit jentera Mercedes dan tuah untuk jentera 787B muncul apabila satu unit Mercedes terbabas ketika berlumba dan mengalami kerosakan gearbox yang memaksanya menghentikan perlumbaan

12. Buat masa sekarang, ia merupakan perlumbaan getir antara 787B dengan Mercedes bagi ujian ketahanan dan juga penjimatan bahan api. Sebab kalau berhenti di tengah perlumbaan, Mercedes perlu mengambil masa dan memberi peluang untuk 787B memintas. Jadi Mercedes menggunakan strategi menjimatkan bahan api dan mengurangkan pecutan

13. Selepas 22 jam berlumba, 787B berjaya memintas jentera Mercedes selepas Mercedes terpaksa menghentikan perlumbaan akibat kegagalan mekanikal. Akhirnya selepas 21 tahun Mazda berjaya membuktikan jentera berkuasa rotari mereka mampu mengalahkan jenama besar dalam perlumbaan Le Mans dengan menyudahkan 362 pusingan dalam masa 24 jam.

Tempat kedua, ketiga dan keempat dimenangi oleh jentera Jaguar yang ketinggalan 2 pusingan. Lebih manis lagi bila jentera kedua 787 berjaya meraih kedudukan ke 8 dan jentera 767B berjaya mendapat kedudukan ke 6. Ia merupakan kemenangan pertama jenama Jepun di Le Mans yang hanya diulangi oleh Toyota Gazoo Racing 28 tahun kemudian.

14. Memandangkan FIA menetapkan jentera rotari tidak lagi dibenarkan berlumba mulai tahun 1992, maka Mazda muncul sebagai satu-satunya jenama yang bertanding di Le Mans dengan enjin rotari. Peraturan ini hanya dipinda mulai tahun 2021 bagi membenarkan semula enjin rotari digunakan dalam perlumbaan. Jentera 787B ini dipamerkan di Muzium Mazda di Hiroshima

15. Selepas 326 pusingan atau 4932km berlumba dengan halaju purata 205km/j, ia membuktikan bahawa keputusan untuk menggunakan 700 kuasa kuda sudah cukup untuk memenangi perlumbaan. Bukan itu sahaja, hasil pemeriksaan lanjut mendapati, enjin R26B boleh digunakan berlumba sekali lagi dengan hanya menukar minyak pelincir sahaja

Google ads
Back to top button