
JENTERA LUMBA MAZDA 787B BAKAL BERAKSI SEMULA DI LE MANS
Mazda Motor Corporation telah mengumumkan bahawa pemenang perlumbaan Le Mans, Mazda 787B, akan mengambil bahagian dalam pameran demonstrasi di litar terkemuka Circuit de la Sarthe sempena ulang tahun ke 100 perlumbaan 24 Jam Le Mans. Jentera yang memenangi perlumbana 24 Jam Le Mans tahun 1991 ini akan beraksi bersama kereta-kereta pemenang lain yang akan turut dipamerkan di litar terkenal itu menjelang perlumbaan tahun ini.
Menggunakan trenkuasa oleh enjin empat rotor, Mazda 787B menjadi kereta Jepun pertama yang memenangi perlumbaan Le Mans. Automobile Club de l’Ouest (ACO) mengundang Mazda untuk menyertai pameran demonstrasi dengan kereta pemenang tahun 1991 sebagai sebahagian daripada sambutan ulang tahun ke-100 24 Jam Le Mans. Kereta ini akan dipandu oleh Yojiro Terada, yang pernah bersaing di Le Mans sebanyak 29 kali dan menamatkan perlumbaan pada tempat ke-8 pada tahun 1991 dengan memandu kereta Mazda 787 juga ketika itu.

Mazda 787B ketika itu telah menempuh sebanyak 362 pusingan di litar terkenal di Perancis itu, dan dalam 28 kali berhenti di pit, Mazda pemenang hanya menerima satu penambahan minyak, pertukaran cakera dan pad brek, serta pertukaran bahagian hidung. Selain itu, dengan kuasa enjin R26B empat rotor dengan 700 kuasa kuda, Mazda 787B hanya memerlukan penukaran bahan api dan tayar sahaja dan ia membuktikan ketahanan, kecekapan, dan prestasi enjin rotary unik Mazda dengan sempurna.
Kemenangan Le Mans ini adalah satu momen ikonik dalam sejarah enjin rotary Mazda, sebuah teknologi yang menonjolkan semangat ‘sentiasa mencabar’ Mazda. Pada jam 4 petang pada 23 Jun 1991, apabila Johnny Herbert melintasi garisan penamat pada perlumbaan 24 Jam Le Mans untuk memenangkannya, ianya menandakan satu pencapaian unik.
Mazda menjadi pengeluar Jepun pertama yang memenangi perlumbaan ketahanan paling terkenal di dunia, dan bukan itu sahaja, mereka melakukannya dengan menggunakan enjin yang benar-benar unik yang telah menawan peminat di trek dengan bunyi bingit yang memecah telinga.

Untuk rekod, pembabitan Mazda buat pertama kalinya dalam perlumbaan ini adalah pada tahun 1970 melalui penyertaan model Chevron B16 yang telah disumbat enjin 10A dengan kuasa sekitar 200 kuasa kuda.
Pada tahun 1991, Mazda Corporation telah membangunkan sebuah model jentera lumba daripada Mazda 787 sebagia asas yang dijelmakan menjadi 787B yang baru. Model ini menampilkan jarak roda yang lebih panjang sebanyak 25mm, tayar 18 inci yang lebih besar, dan sistem brek karbon serat. Reka bentuk badan kereta diubah suai untuk meningkatkan penyejukan dan daya tekan bawah.

Dua unit 787B serta sebuah 787 tunggal disertakan dalam perlumbaan tersebut, dengan 787B kedua menamatkan perlumbaan di tempat keenam dan 787 di tempat kelapan. Namun, Mazda 787B dengan nombor chassis 002 adalah yang mencatatkan kemenangan keseluruhan yang gemilang di Le Mans dan kekal menjadi sejarah hingga ke hari ini.
BACA : MAZDA 787B, KEMENANGAN PERTAMA JENTERA JEPUN DENGAN ENJIN ROTARI