
YAMAHA MOTOR PLATFORM CONCEPT, PELANTAR EV DARI YAMAHA!
Yamaha Motor Co., Ltd. hadir ke Tokyo Auto Salon 2024 dengan membawa pelbagai model konsep menarik.
Bintang utama ialah YAMAHA MOTOR PLATFORM CONCEPT, pelantar kegunaan umum untuk kenderaan elektrik (EV) kecil dan kelajuan rendah.
Yamaha juga sedang mencari idea penggunaan dan rakan kerjasama di dalam projek ini.
YAMAHA MOTOR PLATFORM CONCEPT

Pelantar ini disasarkan sebagai pengangkutan peribadi kelajuan rendah untuk satu atau dua orang.
Pelantar ini boleh disesuaikan mengikut kegunaan termasuk pelbagai jenis badan kenderaan atau dipasang beberapa bateri.
Seperkara menarik, unit kuasa pelantar ini menggunakan motor elektrik yang dibuat oleh Honda dan dikuasakan bateri Honda Mobile Power Pack e:.
Concept 580

Kenderaan dengan dua tempat duduk ini boleh digunakan di atas pelbagai permukaan termasuk yang mencabar.
Reka bentuknya kompak dan ringan dan walaupun dinaiki dua orang tetap memberikan kadar penggunaan elektrik yang baik.
Concept 160

Nampak macam Tesla Cybertruck kan? Kenderaan ini hanya memiliki satu tempat duduk. Selain gaya urban, Concept 160 juga menonjolkan rasa cinta kepada alam sekitar dan semangat kebebasan.
Kenderaan ini dilengkapi jaluran lampu LED dengan pelbagai kegunaan.
Concept 682

Gaya duduk seperti sebuah motosikal namun mempunyai empat roda. Kenderaan ini menawarkan keseronokan tunggangan selain boleh digunakan untuk meluahkan kreativiti di dalam pengubahsuaian.
Concept 294

Concept 294 adalah pengangkutan peribadi tiga roda masa depan untuk pelbagai kelompok usia dan nampak sesuai sebagai kenderaan berniaga.
Selain membawa pengaruh reka bentuk Scandinavia, kenderaan ini mempunyai fungsi condong (lean) dan canggih dengan Internet Benda (IoT).







