Buletin

VIETNAM KINI RAJA MOTOSIKAL – 72.8 PERATUS PENDUDUK VIETNAM PILIH MOTOSIKAL BERBANDING KERETA

Seasia baru-baru ini melaporkan Vietnam selayaknya dinobatkan sebagai raja motosikal di Asia Tenggara.

Menurut laporan, populariti motosikal di Vietnam boleh dikaitkan dengan beberapa faktor seperti kos rendah, fleksibiliti serta kecekapan tenaga.

Ulasnya lagi, 72.8 peratus penduduk Vietnam menggunakan motosikal, lebih tinggi berbanding negara-negara Asia Tenggara yang lain.

Di Singapura, jumlah itu menjunam kepada 2.4 peratus, menjadikan individu Vietnam 30 kali lebih berkemungkinan menggunakan kenderaan dua roda berbanding Singapura.

Brunei, dengan kadar penggunaan 67.2 peratus, berada di tempat kedua dalam senarai itu, walaupun jumlah itu dijangka berubah berikutan keputusan negara itu untuk menaikkan cukai penggunaan motosikalnya daripada 20 peratus kepada 30 peratus.

Sementara, Malaysia melengkapkan tiga teratas dengan kadar penggunaan motosikal sebanyak 45.3 peratus.

Seasia mengaitkan penggunaan motosikal yang meluas di Vietnam bersesuaian kemampuan mereka, baik dari segi harga pembelian awal dan kos penyelenggaraan, berbanding dengan kereta.

Seasia seterusnya menekankan kecekapan tenaga motosikal, di mana pelepasannya lebih rendah berbanding kereta.

Ia sekaligus memainkan peranan penting dalam memenuhi matlamat alam sekitar.

Melihat kepada statistik lebih terperinci, laporan 2015 oleh Pew Research Center menunjukkan bahawa Vietnam menduduki tempat kedua di Asia Tenggara dari segi peratusan isi rumah menggunakan motosikal (86 peratus), hanya di belakang Thailand (87 peratus).

Negara-negara ASEAN lain, termasuk Indonesia, Malaysia, dan Filipina, juga menonjol dalam kalangan sepuluh negara teratas dengan kadar pemilikan motosikal yang tinggi.

Walaupun berlaku kemelesetan dalam ekonomi yang menjejaskan jualan motosikal di Vietnam dalam tempoh sembilan bulan pertama tahun ini, terdapat lantunan semula secara beransur-ansur dalam beberapa bulan kebelakangan ini, terutamanya menjelang cuti Tet, perayaan tradisional Vietnam paling penting pada bulan Februari.

Google ads
"
"
Back to top button