
MAZDA MENGGANAS DENGAN SUV ELEKTRIK EZ-60 DI CHINA
Mazda baru-baru ini secara rasmi melancarkan model SUV elektrik baharu mereka, Mazda EZ-60 di China.
SUV ini dilihat sebagai pesaing terus kepada Tesla Model Y dan beberapa model lain dalam segmen kenderaan elektrik kompak.
Menariknya, Mazda bukan sahaja memperkenalkan model ini dengan sistem pacuan elektrik sepenuhnya, malah turut merancang varian ‘range-extender’ untuk menawarkan lebih fleksibiliti kepada pengguna.
Mazda sebelum ini agak ketinggalan dalam perlumbaan EV global, dengan model MX-30 menerima kritikan kerana jarak pemanduan yang terlalu pendek dan harga tidak kompetitif.

Namun, dengan kemunculan EZ-60, dikenali sebagai CX-6e untuk pasaran luar China seperti Eropah – Mazda dilihat ingin menebus kesilapan lalu.
Dari segi reka bentuk, EZ-60 tampil lebih garang berbanding mana-mana SUV dalam barisan semasa Mazda. Ia mengambil inspirasi daripada konsep Arata tahun lalu, menampilkan lampu siang LED nipis, jalur LED di bawah gril, dan logo Mazda yang menyala, memberikan sentuhan moden.
Menurut maklumat daripada Kementerian Industri dan Teknologi Maklumat China, EZ-60 berukuran 4,850mm panjang, 1,935mm lebar dan 1,620mm tinggi dengan jarak roda 2,902mm – sedikit lebih besar daripada Tesla Model Y.

Berat keseluruhan pula dianggarkan antara 1,992 hingga 2,048kg, menjadikannya hampir seberat trak pikap asas seperti Ford F-150.
Dibina berasaskan platform modular EPA1 yang turut digunakan oleh Changan Deepal S07, EZ-60 bakal ditawarkan dalam dua pilihan: model elektrik sepenuhnya dan model dengan ‘range-extender’.
Versi ‘range-extender’ menggunakan enjin 1.5L empat silinder aspirasi natural yang berfungsi sebagai penjana kuasa untuk bateri 31.7kWj, yang seterusnya menggerakkan motor elektrik 255hp di gandar belakang.

Meskipun angka jarak pemanduan untuk EZ-60 masih belum diumumkan, model berkaitan iaitu EZ-6 R-EV menawarkan sehingga 160km jarak elektrik sepenuhnya dan 1,300km keseluruhan dengan bantuan enjin.
Namun, bintang utama dalam kabin EZ-60 ialah paparan skrin ultra-lebar berukuran 26.5-inci dengan resolusi 5K yang merentasi keseluruhan papan pemuka.
Tidak cukup dengan itu, Mazda turut melengkapkan SUV ini dengan paparan realiti terimbuh (AR-HUD) sebesar 100-inci yang memproyeksikan maklumat pemanduan terus ke cermin hadapan.
Selain itu, tiada lagi butang fizikal di konsol tengah, menandakan pendekatan minimalis seperti Tesla.

Secara keseluruhan, terdapat enam skrin di dalam kabin, termasuk cermin sisi maya dengan paparan penstriman video, serta skrin kawalan khas untuk penumpang belakang.
Ini satu perubahan radikal dari rekaan dalaman Mazda yang kebiasaannya ringkas dan konservatif, namun sejajar dengan citarasa pasaran China.
Dari sudut keselesaan, EZ-60 menawarkan tempat duduk hadapan dan belakang dengan fungsi pemanas dan pengudaraan, serta sistem audio 23 pembesar suara. Praktikaliti turut diberi perhatian dengan 20 ruang simpanan, but belakang berkapasiti 350 liter (boleh ditingkatkan kepada 2,036 liter apabila kerusi dilipat), serta ruang simpanan tambahan di hadapan (frunk) sebanyak 126 liter.
Mazda EZ-60 dijangka memberi saingan sengit dalam pasaran EV yang semakin sengit, terutamanya dengan kombinasi teknologi moden, rekaan berani, dan praktikaliti harian.
- BACA: TIGA MODEL KONSEP JEEP YANG LASAK DIPAPARKAN. SESUAI UNTUK BAWA MASUK KE DALAM HUTAN DENGAN PELBAGAI FUNGSI
- BACA: RUSSIA BAKAL TERIMA NISSAN PATROL BAHARU – TERIMA KASIH CHINA
- BACA: DENZA RASMI LANCAR EMPAT CAWANGAN PENGEDARAN BAHARU DI MALAYSIA
- BACA: CHINA KEMBALIKAN PESAWAT BOEING YANG DITEMPAHNYA KE AS