
MALAYSIA SUMBANG JUMLAH PENUMPANG TERTINGGI WHOOSH, TAPI MASIH RUGI BERBILION
Sejak mula beroperasi, perkhidmatan Kereta Cepat Whoosh Jakarta–Bandung di Indonesia telah mencatat lebih 200,000 penumpang warga asing yang menggunakan perkhidmatan itu datang dari Malaysia.
Perkara ini disahkan oleh Keretapi Cepat Indonesia China (KCIC), yang turut dikongsikan semula oleh laman Facebook ASEAN Culture & History dan MalaysiaHub.
Data terkini dari KCIC bagi tempoh Januari hingga Mac 2025 menunjukkan 87,077 pelanggan warga negara asing (WNA) telah menikmati perjalanan dengan Whoosh, meningkat sebanyak 79.9 peratus berbanding tempoh sama pada 2024, yang merekodkan 48,391 pelanggan.
Menariknya, Malaysia muncul sebagai penyumbang utama kepada lonjakan ini, mengatasi pelancong dari Singapura dan China.

“Lonjakan ini menunjukkan bahawa Kereta Cepat Whoosh menjadi pilihan utama pelancong antarabangsa yang datang ke Indonesia,” ujar Naib Presiden Perhubungan Awam PT Kereta Api Indonesia (KAI), Anne Purba.
Sambutan hangat daripada rakyat Malaysia turut menarik perhatian netizen Indonesia, khususnya dari Bandung.
Seorang pengguna media sosial secara berseloroh menyatakan, “Tanpa pelancong Malaysia, mereka (Whoosh) dah bankrap.”
Walaupun berbaur gurauan, komen itu menggambarkan betapa pentingnya kehadiran pelancong dalam menjana pendapatan perkhidmatan ini.
Menurut Anne, peningkatan ketara pelanggan asing turut dipengaruhi oleh sistem perkhidmatan yang mesra pengguna.
Antaranya termasuk pembelian tiket secara digital sepenuhnya serta penyampaian maklumat perjalanan dalam Bahasa Indonesia dan Inggeris bagi memudahkan penumpang asing memahami prosedur serta menikmati perjalanan tanpa kesulitan.
“Layanan kami tidak hanya mengutamakan kelajuan dan ketepatan masa, tetapi juga aspek keselesaan, keselamatan serta kemudahan moden bertaraf tinggi,” tambahnya.
Walaupun kereta api berkelajuan tinggi Whoosh antara Jakarta dan Bandung terus mencatat lonjakan penumpang, terutamanya pelancong dari Malaysia, hakikatnya projek mega ini sedang berdepan cabaran kewangan yang tidak kecil.
Sumber rasmi menunjukkan bahawa Whoosh menanggung kerugian besar pada tahun pertama operasinya, dengan anggaran defisit sebanyak Rp 3.15 trilion (kira-kira RM955 juta) direkodkan menjelang hujung 2023.
Malah, pada separuh pertama 2024 sahaja, konsortium yang terdiri daripada syarikat milik kerajaan (BUMN) Indonesia, termasuk PT Kereta Api Indonesia (KAI), melaporkan kerugian mencecah Rp 3.53 trilion (RM1.06 bilion).
Punca utama kepada kerugian ini ialah kos pembinaan yang tinggi dan pembiayaan projek yang sebahagiannya dibiayai melalui pinjaman luar, termasuk dari China.
Dengan jumlah hutang yang besar dan komitmen pembayaran faedah begitu tinggi, beban kewangan terus menekan kestabilan kewangan projek ini, sekaligus menyukarkan usaha untuk mencatat keuntungan dalam masa terdekat.
Walau apapun, kerajaan Indonesia masih meletakkan harapan tinggi terhadap Whoosh sebagai simbol kemajuan teknologi dan integrasi serantau.
- BACA: MAZDA MENGGANAS DENGAN SUV ELEKTRIK EZ-60 DI CHINA
- BACA: TIGA MODEL KONSEP JEEP YANG LASAK DIPAPARKAN. SESUAI UNTUK BAWA MASUK KE DALAM HUTAN DENGAN PELBAGAI FUNGSI
- BACA: RUSSIA BAKAL TERIMA NISSAN PATROL BAHARU – TERIMA KASIH CHINA
- BACA: DENZA RASMI LANCAR EMPAT CAWANGAN PENGEDARAN BAHARU DI MALAYSIA