Buletin

MAZDA EZ-60 TERIMA LEBIH 30,000 TEMPAHAN AWAL, PELANCARAN SEPTEMBER INI DI CHINA

SUV elektrik terbaru Mazda, EZ-60, mencatatkan lebih 30,000 tempahan awal sejak pra-jualan dibuka pada April lalu, sekali gus menunjukkan sambutan luar biasa terhadap model itu menjelang pelancarannya di China pada September 2025.

Model ini dibangunkan melalui usaha sama antara Mazda dan syarikat China, Changan, sebagai sebahagian daripada strategi perluasan elektrifikasi Mazda di pasaran EV terbesar dunia.

EZ-60 merupakan model kedua hasil kerjasama Changan Mazda selepas pelancaran sedan EZ-6 tahun lalu, yang turut menjadi eksport besar pertama Mazda dari China ke Eropah.

Mazda memperkenalkan skim tempahan unik dengan deposit hanya 10 yuan (sekitar RM6.60), yang meningkat 10 yuan setiap hari disertai ganjaran.

Namun, dana yang terkumpul mesti digunakan dalam masa tujuh hari selepas pelancaran, atau pembeli hanya akan menerima semula nilai asal deposit. Bonus pula akan terbatal jika tempahan dibatalkan.

Data awal menunjukkan kira-kira 76 peratus daripada tempahan datang daripada golongan berumur antara 25 hingga 40 tahun, manakala 71 peratus daripadanya berasal dari bandar-bandar besar dan maju di China.

SUV elektrik ini akan ditawarkan dalam dua konfigurasi: versi elektrik penuh dengan motor 258hp dan bateri 77.9kWh, menawarkan jarak perjalanan sehingga 600km mengikut piawaian CLTC; dan varian jarak lanjutan yang turut menggunakan motor sama tetapi disertakan enjin petrol 1.5 liter untuk sambungan jarak tambahan selepas 160km pemanduan elektrik sepenuhnya.

Kedua-dua varian berkongsi saiz dimensi panjang 4,850mm, lebar 1,935mm dan tinggi 1,620mm dengan jarak roda 2,902mm serta dilengkapi ciri teknologi canggih. Namun, harga rasmi EZ-60 masih belum diumumkan.

Pelancaran EZ-60 dijangka menambah saingan dalam segmen SUV elektrik di China yang kini dikuasai oleh jenama tempatan.

Mazda turut merancang memperkenalkan dua lagi model EV baharu menjelang 2026 dalam usaha mengukuhkan kedudukannya di rantau ini.

Google ads
Back to top button