
MAZDA3 1.5L TIBA DI PASARAN MALAYSIA – JANA 118HP, HARGA BERMULA RM118K
Bermaz Motor hari ini secara rasmi melancarkan Mazda3 1.5 liter, kali ini dengan kemasan lebih mewah dan kelengkapan yang dipertingkat.
Model segmen C ini hadir dalam dua gaya badan; sedan dan hatchback, menampilkan gabungan reka bentuk elegan serta prestasi efisien.
Di bawah bonet, jantung mekanikalnya ialah enjin 1.5 liter SkyActiv-G aspirasi semula jadi (NA) yang menghasilkan 118hp pada 6,000rpm dan 153Nm tork pada 4,000rpm.

Kuasa disalurkan ke roda hadapan melalui transmisi automatik enam kelajuan yang terkenal dengan kehalusan penukaran gear.
Dengan kapasiti tangki 51 liter, Mazda3 mencatat penggunaan bahan api serendah 5.8 liter bagi setiap 100km, menjadikannya pilihan ideal untuk pemanduan harian.
Dari segi kelengkapan, Mazda3 1.5L tidak berkompromi. Ia hadir dengan teknologi G-Vectoring Control Plus (GVC Plus), lampu utama LED automatik, rim aloi 18-inci, dan sistem kemasukan tanpa kunci.

Ruang dalaman pula tampil kemas dan moden, dilengkapi paparan MID TFT 7-inci, skrin infohibur 10.25-inci dengan Apple CarPlay dan Android Auto tanpa wayar, pengecas tanpa wayar, penyaman udara dwi-zon, serta corong pendingin udara untuk penumpang belakang.
Ciri-ciri lain yang melengkapi model ini termasuklah tempat duduk kulit larasan kuasa 10-tahap untuk pemandu (berserta fungsi memori), paddle shifter, serta paparan head-up berwarna bagi pengalaman pemanduan yang lebih intuitif.

Aspek keselamatan turut menjadi tumpuan utama, dengan enam beg udara serta rangkaian sistem bantuan pemandu i-Activsense, yang merangkumi:
- Adaptive Front-Lighting System (AFS)
- High Beam Control (HBC)
- Blind Spot Monitoring (BSM)
- Rear Cross Traffic Alert (RCTA)
- Lane Departure Warning System (LDWS)
- Lane Keep Assist System (LAS)
- Driver Attention Alert (DAA)
- Smart Brake Support (SBS) depan & belakang
- Mazda Radar Cruise Control (MRCC)
- Cruising & Traffic Support (CTS)
Pilihan warna yang ditawarkan termasuk merah (Soul red), kelabu (Polymetal Gray), hitam (Jet Black), Platinum Quartz dan kelabu (Machine Gray)
Dihasilkan sepenuhnya di Jepun (CBU), Mazda3 1.5L kini dibuka untuk tempahan dengan harga bermula daripada RM118,900.
GALERI:










