
MBPG LAKSANA LARANGAN LETAK KENDERAAN HADAPAN RUMAH BERMULA 1 JANUARI 2024
Majlis Bandaraya Pasir Gudang (MBPG) menguatkuasakan larangan meletak kenderaan di hadapan rumah bermula 1 Januari depan.
Datuk Bandar Pasir Gudang, Datuk Asman Shah Abd Rahman berkata, perkara itu sudah diputuskan menerusi mesyuarat khas MBPG Rabu lalu.
Beliau berkata, pada dasarnya semua ahli majlis bersetuju dan menerima kertas dasar pelaksanaan itu yang akan dikuatkuasakan pada 1 Januari 2024.

“Mulai sekarang hingga 31 Disember ini adalah proses kesedaran dan pendidikan kepada semua pihak dengan cara pengeluaran notis pemberitahuan sahaja kepada yang terbabit,” katanya.
Pada 4 Oktober lalu, tular satu notis pemberitahuan daripada MBPG yang menyatakan larangan meletakkan kenderaan di hadapan rumah (luar pagar) yang boleh menyebabkan halangan di tempat awam.
Penguatkuasaan itu akan dilaksana secara berfasa bertujuan menjaga keharmonian masyarakat kerana MBPG menerima 349 aduan kenderaan menghalang laluan depan rumah dari awal tahun sehingga bulan lalu.
Kompaun melalui peruntukan mengikut Undang-Undang Kecil, Jalan, Parit dan Bangunan MBPG tidak akan terus dikeluarkan kepada penduduk kerana siasatan akan dilakukan terlebih dahulu.
“Kita akan lakukan siasatan dengan berjumpa pengadu dan pemilik kereta. Notis akan diberikan kepada pemilik kenderaan yang menghalang laluan.
“Notis itu diberi tempoh sehingga 21 hari untuk pemilik kereta mengambil tindakan penambahbaikkan.
“Selepas itu, sekiranya tiada tindakan pemulihan MBPG akan kompaun RM100 hingga maksimum RM2,000 bagi kesalahan berulang,” jelasnya. – Harian Metro







