REMPUH SUV POLIS, REMAJA PATAH KAKI, LUKA BAHAGIAN KEPALA
Seorang remaja cedera selepas motosikal ditunggang melanggar kenderaan utiliti sukan (SUV) polis. dalam kejadian kemalangan di Kilometer (KM) 4 Jalan Raya Timur Barat Gerik-Jeli berhampiran lampu isyarat Bandariang.
Ketua Polis Daerah Gerik, Superintenden Zulkifli Mahmood berkata, kejadian berlaku kira-kira jam 4.10 pagi melibatkan dua motosikal Yamaha Y15 dan Proton X70 milik pasukan polis.
Menurutnya, kenderaan polis yang dipandu seorang pegawai bersama seorang lagi pegawai kanan, sedang berhenti di lampu isyarat secara tiba-tiba dirempuh oleh sebuah motosikal.
Tambah beliau lagi, motosikal berkenaan ditunggang oleh seorang lelaki berusia 18 tahun.
“Rempuhan tersebut telah mengenai bahagian belakang kenderaan polis dan penunggang motosikal itu pula mengalami patah kaki, tangan kanan serta luka pada bahagian kepala.”
“Sebuah lagi motosikal yang ditunggang seorang lelaki berusia 17 tahun sempat mengelak dari melanggar kenderaan polis sebelum terbabas ke sebelah kiri jalan.
“Penunggang berusia 17 tahun itu mengalami luka ringan pada bahagian kaki kiri dan kanan,” katanya.
Zulkifli berkata, bagaimanapun pemandu dan penumpang kenderaan polis tersebut tidak mengalami sebarang kecederaan akibat kejadian kemalangan itu.
Menurutnya, siasatan lanjut mendapati kedua-dua penunggang terbabit menunggang dalam keadaan laju sebelum hilang kawalan.
Beliau berkata, orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kemalangan terbabit diminta menghubungi Pegawai Penyiasat Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Geri, Inspektor Zaidi Yasin di talian 013-4487374 bagi membantu siasatan dan kes disiasat bawah Seksyen 43 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. – Sinar Harian
- BACA: PENUNGGANG HARLEY MAIN KEJAR-KEJAR DENGAN POLIS ARKANSAS – SEKALI JATUH TERTONGGENG DAA
- BACA: ELAK SEKATAN POLIS, KERETA PENAGIH DADAH MASUK PARIT
- BACA: POLIS MANCHESTER LELONG ROLLS ROYCE GHOST DENGAN HARGA RAHMAH, MESRA ABANG MLM
- BACA: POLIS SAHKAN KENDERAAN SINGAPURA ENGGAN BERI KERJASAMA DISENARAI HITAM – MASIH MENGESAN PEMILIK KENDERAAN