Buletin

KERETA ‘DISAGAT’ GARA-GARA PARKING TEPI JALAN DI MRT CYBERJAYA UTARA

Isu tempat letak kereta terus menghantui pengguna pengangkutan awam, apabila mereka bukan sahaja perlu berebut untuk mendapatkan tempat seawal pagi, malah lebih teruk sekiranya kenderaan dihalang ketika hendak keluar.

Baru-baru ini, terdapat individu memilih meletakkan kenderaan di tepi jalan dan tindakan sedemikian membawa padah setelah kereta mereka ‘disagat’ kenderaan lain.

Menerusi ciapan tular di Twitter, beberapa buah kereta yang diparkir di tepi jalan laluan masuk ke MRT Cyberjaya Utara, mengalami rosak teruk dipercayai dilanggar kenderaan berat.

Menurut komen pengguna platform itu, stesen tersebut ada menyediakan parkir berbayar serendah RM4 sehari, khas untuk pengguna MRT.

“Naik pengangkutan awam pun kena bawa kereta ke stesen. Sepatutnya naik pengangkutan awam kita rasa tenang, tapi kena fikir tentang parking pula.

“Tidak menyalahkan pemilik kereta atau pemandu jalan 100 peratus, tapi kecewa dengan perancang pengangkutan awam dan bandar,” komen pengguna Twitter.

Komen lain, “Parking pun tidak ketepi, betul-betul duduk tengah-tengah jalan. Kereta dah kena ‘sagat’, hadap je la. Salah sendiri juga.”

Tidak ketinggalan, ada juga mencadangkan beberapa solusi untuk menangani masalah ini.

“Parkirlah di MRT Purtajaya Sentral. Di sana, ada 1,407 tempat parkir. Kalau parkir secara haram, insurans tidak akan cover sebarang kerosakan.”

Terdahulu, kejadian hampir sama berlaku di MRT Cyberjaya City Centre di mana kereta yang diparkir tepi jalan menghalang laluan bas hingga menganggu jadual perjalanan. – KOSMO! ONLINE

Google ads
Back to top button