
KENAPA FUNGSI START/STOP, PALING DIBENCI OLEH PEMANDU?
Kalau anda perasan, kebanyakan kereta moden pada hari ini akan dipasang dengan ciri Star/Stop bagi membenarkan enjin dimatikan ketika dalam keadaan statik dan dihidupkan semula selepas pedal brek dilepaskan. Fungsinya ialah mengurangkan penggunaan bahan api serta mengurangkan pelepasan gas karbon dioksida.
Tapi tahukah anda bahawa sistem ini di diperkenalkan buat pertama kali pada tahun 1974 pada Toyota Crown sewaktu kemuncak krisis bahan api 1970an. Dengan menggunakan sistem ini, Toyota membuktikan ciri Start/Stop ini berupaya menjimatkan 10% bahan api ketika kesesakan jalan raya berlaku.
Ciri ini kemudian turut diperkenalkan pada Fiat Regata, Volkswagen Polo, Golf Ecomatic dan juga Audi A2 pada tahun 1999. Namun ciri ini gagal menambat hati pengguna disebabkan terlalu banyak gegeraran, bunyi bising dan harga yang mahal menjadikan ciri ini kurang popular pada ketika itu.
Namun pada tahun 2009, selepas Kesatuan Eropah mula mengumumkan pelaksanaan sistem kawalan pelepasan gas ekzos dan pencemaran udara yang semakin ketat ciri ini mulai popular semula dan dipasang pada semua kereta yang dijual di sana.
Pada ketika ini, Toyota telahpun mempopularkan satu lagi jenis kenderaan hibrid iaitu Toyota Prius. Sama seperti kereta biasa, Toyota Prius juga datang dengan ciri Star/Stop bagi meningkatkan kecekapan bahan api dan mengurangkan pelepasam asap. Namun operasi yang digunakan oleh Prius lebih lancar dan selesa berbanding dengan kereta biasa
Toyota Prius datang dengan satu motor elektrik yang “ditanam” antara enjin dan transmisi CVT. Fungsi motor ini ialah “menangkap” lebihan tenaga kinetik sewaktu kereta bergerak dan menukarkannya menjadi tenaga elektrik. Ia juga bertindak membantu membekalkan kuasa tambahan pada unit trenkuasa ketika pecutan dibuat.
Motor elektrik ini juga bertindak membantu menghidupkan semula enjin semasa operasi Star/Stop berlaku. Jika dibandingkan dengan motor penghidup biasa (starter motor), motor yang digunakan oleh sistem hibrid adalah jauh lebih besar menjadikan proses menghidupkan semula enjin lebih lancar, senyap dan langsung tidak disedari oleh pemandu
Sewaktu enjin dimatikan, kebanyakan kereta hibrid masih mampu mengekalkan operasi penyaman udara disebabkan penggunaan motor pemampat yang menggunakan elektrik. Kuasa elektrik pula akan dibekalkan oleh bateri ion lithium yang lebih berkuasa berbanding dengan bateri 12 volt yang kecil.
Bagi kereta petrol biasa yang dilengkapi dengan ciri Start/Stop, proses menghidupkan semula enjin berlaku dengan sedikit kasar, gegaran boleh dirasai dan bunyi motor penghidup akan didengari oleh pemandu serta penumpang.
Malah ketika enjin dimatikan, pemampat penyaman udara (compressor) akan dimatikan kerana pemampat ini berfungsi secara parasit load dengan sambungan mekanikal dibuat di antara enjin dan pemampat melalui tali sawat.
Kalau enjin tidak beroperasi, maka pemampat penyaman udara tidak akan beroperasi melainkan kipas (blower) sahaja yang akan berfungsi. Pada hari yang panas, keadaan ini akan menyebabkan suhu kabin meningkat dan menjadikan pemandu serta penumpang rimas. Bagi Perodua Bezza, ia akan dilengkapi dengan sensor suhu, menghidupkan enjin sekiranya suhu kabin meningkat.
Jadi disebabkan 2 isu di atas, kebanyakan pemandu yang memandu kereta dilengkapi sistem Start/Stop akan mematikan ciri ini sepenuhnya. Mungkin sebab rasa terganggu dengan operasi Start/Stop, mungkin tidak selesa bila penyaman udara tidak beroperasi atau mungkin kedua dua sebab diatas.
Dan mungkin ini adalah sebab beberapa jenama enggan memasang sistem Start/Stop pada kenderaan mereka, mungkin mereka sudah tahu yang akhirnya sistem Start/Stop akan ditutup sepenuhnya nanti.



