Buletin

MEKANIK MOTOSIKAL DITEMUI MATI GANTUNG DIRI DALAM BENGKEL

Seorang mekanik motosikal ditemui mati menggantung diri dalam bengkelnya di Jalan Persekutuan Ipoh-Butterworth, di Bagan Serai, Perak malam tadi.

Ketua Polis Daerah Kerian, Superintenden Mazuki Mat berkata, mayat Tan Hock Bean, 60, ditemukan isteri dan anaknya setelah mangsa tidak pulang ke rumah seperti biasa di Taman Sinar.

Sebaik sahaja dua beranak itu tiba di tempat kejadian, mereka mendapati pintu besi hadapan bengkel terbuka dan dengan jelas melihat mangsa dalam keadaan tergantung.

“Polis menerima aduan mengenai kejadian ini pada pukul 9.40 malam. Siasatan awal mendapati mangsa dipercayai menggantung diri menggunakan tali nilon yang dililit pada besi pencakuk kipas siling pada alang kayu bengkel.

“Mangsa dipercayai menggunakan sebuah kerusi bulat untuk memanjat semasa melilit tali pada besi pencakuk kipas. Polis turut menemukan barang peribadi mangsa seperti dompet berisi wang tunai, MyKad, kad bank, telefon bimbit, kunci motosikal dan kunci bengkel,” katanya dalam satu kenyataan. 

Siasatan mendapati tiada berlaku sebarang unsur jenayah di tempat kejadian. Mayat mangsa kemudian dihantar ke Unit Forensik Hospital Parit Buntar untuk bedah siasat dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut.

Sementara itu, difahamkan kejadian berlaku setelah mangsa mahu menjual bengkelnya pada harga RM10,000 kepada seorang pembeli. – UTUSAN ONLINE 

Google ads
Back to top button