Artikel Pilihan

APA BEZA KERETA YANG SELESA DENGAN KERETA YANG DIREKA SPORT?

Mungkin dulu kita akan ingat kereta sport ini dibuat apabila kita pasang rekaan skirting ganas di depan, belakang, spoiler ala-ala pesawat F-35, rim sebesar tudung kawah dan ekzos buluh. Tapi selalu kena tinggal 3 4 tiang lampu di lebuh raya dan kena ayam-ayamkan di lampu isyarat, kereta talaan sport apa macam ni kan

Kadang kala, rekaan sesebuah kereta langsung tak nampak sport, nampak biasa sahaja sama seperti kereta lain. Tapi bila dipandu beberapa ketika, maka ketika itulah kami tahu yang kereta ini sebenarnya ditala ke arah sport sikit berbanding dengan pesaingnya yang lain.

Berdasarkan pandu uji yang kami buat selama beberapa tahun, kami senaraikan ciri-ciri perbezaan yang ada pada kereta yang selesa dan sport.

Papan pemuka berorientasikan pemandu dan paddle shift di belakang stering

1. Unit Transmisi – kalau dulu biasanya varian sport akan ditawarkan dengan enjin lebih berkuasa, namun atas faktor kekangan kos praktis ini tidak lagi dibuat. Biasanya pengeluar akan menawarkan sistem transmisi dengan talaan yang sedikit agresif berbanding dengan transmisi standard.

Walaupun masih mengekalkan bilangan gear (4, 5 atau 6) manual ataupun automatik, ratio gear akan ditala menjadi sedikit agresif. Bagi GR Vios sebagai contoh, ia ditawarkan dengan 10 gear ratio CVT maya yang menawarkan gear yang lebih agresif dan panjang.

Bagi unit automatik, ia ditawarkan dengan penukar gear sequential di stering bagi memudahkan pemandu mengawal gear. Kaedah ini membolehkan pemandu memilih gear yang sesuai dengan mereka terutama ketika mengambil selekoh dan memecut semula di jalan lurus. Bagi kereta yang direka untuk keselesaan, ia hanya ditawarkan fungsi sequential di tombol gear sahaja

2. Stering – walaupun semua stering nampak bulat, sebenarnya ada beza tetapan bagi kereta yang direka untuk keselesaan ataupun sport. Bagi kereta yang mementingkan keselesaan, gear ratio dalam stering direka dengan ratio yang besar, menghasilkan tindakbalas stering yang agak lambat bagi pemandu.

Apa yang kami perhatikan, tetapan ini mengurangkan olengan cesi ketika selekoh. Bagi kereta yang ditala untuk sport, talaan gear pada stering dibuat dengan sedikit agresif. Nak masuk selekoh tajam, cuma perlu usik sikit saja stering, tak perlu pusing lebih lebih. Tetapan stering sebegini akan mengganggu keselesaan kereta terutama pada “yaw movement”

Corolla dengan double wishbone, seimbang dari segi ride & handling

3. Suspensi – gabungan antara spring dan penyerap hentakan yang digunakan oleh kereta yang mementingkan keselesaan dan juga sport adalah berbeza. Biasanya kereta yang selesa akan menggunakan spring yang sedikit tinggi dan penyerap hentakan dari jenis long travel. Kesan dia bila lalu jalan tidak rata, fuh rasa macam duduk atas bantal

Kelemahan dia bila selekoh tajam, body roll akan buat kereta rasa melayang. Sebab itulah kereta yang ditala sport akan menggunakan spring dan penyerap hentakan yang lebih pendek. Ia mungkin tak selesa bila lalu jalan tak rata, tapi bila boleh dipandu dengan agresif di selekoh.

Kusyen Elantra, antara yang paling selesa

4. Rekaan tempat duduk pemandu – sama seperti sistem suspensi, tempat duduk untuk kereta yang selesa biasanya akan lebih lembut. Bila duduk rasa tenggelam sikit badan dalam kusyen. Berbeza dengan kereta talaan sport, kusyen direka dengan bentuk sedikit berlekuk terutama di bahagian lower back dan hip.

Lekukan atau bolster ini dibuat agar ia memeluk badan anda dengan kemas sewaktu pemanduan agresif. Kedua dua jenis kusyen ini dibuat agar ergonomik tapi kalau kereta yang mementingkan keselesaan, ia lebih sedap untuk perjalanan jauh.

Brek cakera depan dan belakang

5. Brek – atau lebih tepat brake feel, atau respon brek sebaik sahaja pedal ditekan. Kalau kereta yang direka dengan matlamat keselesaan, brek dia rasa lembut sebaik sahaja pedal ditekan dan tidak akan menyebabkan penumpang lain terkejut dan terhumban ke belakang. Brake feel akan terasa linear.

Bagi kereta yang direka dengan sport, brek ditala dengan agresif. Kalau ditekan walaupun sedikit, kereta akan mengalami nyahpecutan dengan ketara membolehkan pemandu memasuki selekoh pada halaju yang sesuai atau mengelak halangan atas jalan dengan cekap.

Mungkin pemerhatian anda tak sama dengan pemerhatian dan pengalaman kami, tapi itulah sedikit sebanyak perbezaan antara kereta yang ditala samaada untuk keselesaan ataupun sport. Walaupun nampak biasa-biasa sahaja dan standard kilang, belum tentu kereta modified bodykit dengan ekzos besar boleh kejar.

Google ads
Back to top button