Artikel Pilihan

ENJIN LUTSINAR, BOLEH LIHAT KOMPONEN MEKANIKAL BERGERAK KETIKA ENJIN BEROPERASI.

Sekumpulan mekanik dari Garage54 telah membina beberapa komponen daripada polyurethane yang berupaya membenarkan cahaya menembusinya. Mekanik ini membina penutup komponen injap dan bekas takungan minyak hitam dari polyurethene dengan menggunakan enjin kereta Lada.

Untuk menghasilkan komponen lutsinar dengan polyurethene, komponen yang asal telah dibuka dan acuan plexiglass dengan ketebalan 3mm telah dibina. Acuan ini telah ditambah dengan satu lapisan plexiglass setebal 1.5mm diikuti dengan polyurethene setebal 2mm bagi menghasilkan komponen (penutup injap dan bekas takungan minyak hitam) yang kuat dan tahan panas.

Apabila penutup injap dan bekas takungan minyak hitam ini dipasang pada kedudukan asal, enjin ini dihidupkan dan kita boleh melihat minyak pelincir yang dituang pada enjin dihantar dari bekas takungan ke seluruh bahagian enjin dengan menggunakan pam minyak pelincir sebelum balik semula ke bekas takungan

Dari bahagian bawah, anda boleh lihat minyak pelincir dihantar ke semua bahagian termasuk aci engkol, piston dan juga saluran khas minyak pelincir (oil gallery channel) di seluruh bahagian enjin. Minyak pelincir yang digunakan dalam enjin ini dari jenama Bardhal dengan kelikatan 10W-40

Enjin Lada ini menggunakan rantai pemasaan atau timing chain dan dalam video ini anda boleh lihat bagaimana minyak pelincir berfungsi melincirkan pergerakan rantai dengan sproket. Minyak pelincir daripada sproket itu akan bergerak ke arah bahagian rocker arm untuk melincirkan pergerakan rocker arm dan juga injap. Tanpa penutup injap, kemungkinan minyak pelincir akan terpercik keluar.

Google ads
Back to top button